Lebih 295,000 keluarga di Filipina terjejas akibat tiga taufan kuat
Bernama
November 18, 2024 18:38 MYT
November 18, 2024 18:38 MYT
MANILA: Tiga taufan tropika yang melanda Filipina beberapa minggu berturut-turut menjejaskan sejumlah 295,576 keluarga, lapor Agensi Berita Filipina (PNA) yang memetik Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC).
Dalam kemas kini pada 8 pagi Isnin, NDRRMC memaklumkan mereka yang terjejas akibat Taufan Nika (Toraji), Ofel (Usagi) dan Pepito (Man-yi) tinggal di 3,358 pusat pemindahan di enam wilayah.
Keluarga itu mewakili seramai 1,145,942 orang dari Wilayah 1, 2 dan 3, Mimaropa, Wilayah 5, dan Wilayah Pentadbiran Cordillera (CAR).
Masih tiada laporan kematian setakat ini, tambahnya.
Setakat ini, 104,830 keluarga atau 446,177 orang sedang dibantu di 2,717 pusat pemindahan manakala 66,681 keluarga atau 238,894 individu sedang dibantu di luar (pusat pemindahan).
Sementara itu, jumlah rumah yang dilaporkan rosak akibat tiga taufan itu adalah sebanyak 7,838 dan kerosakan ini direkodkan di Wilayah 1, 2, 3, dan CAR.
Daripada jumlah itu, 7,401 rumah diklasifikasikan sebagai "rosak sebahagian" manakala 437 lagi dilabelkan sebagai "musnah".
Kerugian dalam sektor pertanian dianggarkan bernilai 8,640,199.46 peso Filipina (PHP) dan kerosakan ini direkodkan di Wilayah 1 dan 3.
Sementara itu, kerosakan infrastruktur dianggarkan bernilai PHP469,847,274.36, yang berlaku di Wilayah 2, 3 dan CAR.
-- BERNAMA