Lebih 29 juta rakyat Tanzania keluar mengundi
Agensi
Oktober 28, 2020 18:48 MYT
Oktober 28, 2020 18:48 MYT
Rakyat Tanzania keluar mengundi hari ini sempena pilihan raya presiden dan parlimen, yang menyaksikan Presiden Tanzania, John Magufuli berharap memperoleh mandat penggal kedua untuk memerintah lagi lima tahun.
Dalam pada itu, blok pembangkang Tanzania menyuarakan amaran berkenaan pilihan raya itu yang didakwa telah dimanipulasi serta mencetus keganasan.
Tanzania, yang pernah dipuji kerana keamanannya dan usaha perdamaian di Afrika, berdepan krisis hak asasi manusia kerana para diplomat dan pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan pemerintah di bawah Magufuli menyekat kebebasan media, masyarakat umum dan pembangkang.
Lebih 29 juta rakyat Tanzania keluar mengundi yang menyaksikan sekitar 80,000 pusat mengundi di seluruh negara dibuka untuk memilih presiden dan anggota parlimen.
Pilihan raya itu membabitkan 15 calon presiden daripada 15 parti politik tetapi pencabar paling sengit adalah daripada Tundu Lissu yang pernah terselamat daripada cubaan membunuh pada 2017, dan awal tahun ini telah kembali dari buangan.
Awal bulan ini, Lissu dilarang berkempen selama seminggu ekrana dikatakan mengeluarkan komen menghasut.
Sebilangan besar tempat mengundi dibuka pada 7 pagi waktu tempatan dan dijangka ditutup pada 4 petang dengan setiap saluran mengundi hanya menampung kurang daripada 500 pengundi.
Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Nigeria, Semistocles Kaijage, pada Selasa berkata hanya suruhanjaya ini yang diberi kuasa untuk mengumumkan keputusan namun, tidak memberikan butiran lanjut bila keputusan akan dikeluarkan atau presiden baharu dilantik.