Lebih 270 penunjuk perasaan ditahan di Perancis
Bernama
Julai 1, 2023 14:00 MYT
Julai 1, 2023 14:00 MYT
PARIS: Lebih 270 orang telah ditahan semasa rusuhan di Perancis pada Jumaat, kata Menteri Dalam Negeri Perancis Gerald Darmanin.
Darmanin memberitahu TF1 TV pada Jumaat bahawa lebih 45,000 pegawai penguatkuasa undang-undang termasuk unit khas terlibat dalam memerangi rusuhan di negara itu.
Sementara itu, lebih 300 pegawai polis cedera dalam tempoh tiga hari pertama pergolakan di negara itu, lapor Sputnik.
Darmanin turut meminta pihak berkuasa Paris mengenakan larangan sementara ke atas penjualan dan pengangkutan bunga api, kanister petrol dan bahan kimia yang mudah terbakar dari jam 9 malam Jumaat (waktu tempatan) sehingga rusuhan reda.
Pada Jumaat, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia menggesa kerajaan Perancis untuk "menangani masalah perkauman dan diskriminasi secara serius" selepas seorang remaja berusia 17 tahun mati ditembak seorang pegawai polis di Perancis.
Nahel M. ditembak mati di pinggir bandar Nanterre di Paris pada pagi Selasa selepas enggan mematuhi arahan polis.
Kejadian itu mencetuskan rusuhan di seluruh negara dan penunjuk perasaan bertempur dengan polis dengan membakar bangunan dan kenderaan.
--BERNAMA-SPUTNIK