Lebih 250,000 isi rumah di Republik Czech tiada bekalan elektrik berikutan hujan lebat

Bernama
September 15, 2024 18:29 MYT
Hujan lebat berterusan juga membuatkan pihak berkuasa menggesa orang ramai agar mengelakkan perjalanan dengan kereta atau kereta api jika boleh. - AP
PRAGUE: Lebih 250,000 isi rumah di Republik Czech terputus bekalan elektrik akibat hujan lebat yang berterusan, menurut agensi CTK yang memetik pembekal tenaga, lapor agensi berita Jerman (dpa) pada Ahad.
Situasi paling kritikal berlaku di bahagian timur Wilayah Moravia-Silesia yang bersempadan dengan Poland. Di kawasan itu sahaja, lebih 100,000 isi rumah terkesan tanpa bekalan elektrik.
Hujan yang berterusan telah melembutkan tanah, menyebabkan banyak pokok tumbang ke atas talian elektrik dan talian voltan tinggi. Jabatan ramalan cuaca menjangkakan hujan akan berterusan sehingga Isnin.
Terdapat gangguan ketara dalam trafik kereta api apabila pokok tumbang di atas landasan dan air sungai yang melimpah membanjiri sebahagian landasan. Sekitar 40 laluan kereta api terpaksa ditutup sepenuhnya.
Di stesen Studenka, laluan utama antara Prague dan Ostrava telah ditenggelami air. Akibatnya, banyak perkhidmatan Eurocity menuju ke Poland dan Slovakia dibatalkan.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk mengelakkan perjalanan dengan kereta atau kereta api jika boleh.
-- BERNAMA
#bekalan elektrik terputus #Republik Czech #hujan lebat #Pokok tumbang
;