Lebih 200 Rohingya diselamatkan di Indonesia, 26 maut - PBB
Bernama
Disember 28, 2022 12:34 MYT
Disember 28, 2022 12:34 MYT
DHAKA: Seramai 232 lagi pelarian Rohingya tiba di pantai barat laut Indonesia sejak beberapa hari lalu selepas meninggalkan kem pelarian di Bangladesh, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) pada Selasa.
Nelayan Indonesia dan pihak berkuasa tempatan telah menyelamatkan dua kumpulan Rohingya, termasuk 58 orang pada Ahad dan 174 lagi pada Isnin dan kebanyakannya merupakan wanita dan kanak-kanak, lapor Agensi Anadolu.
"Ramai dalam kalangan mereka dipercayai terkandas sekurang-kurangnya sebulan sebelum diselamatkan.
"Kami mengalu-alukan tindakan kemanusiaan oleh masyarakat dan pihak berkuasa tempatan di Indonesia," kata wakil UNHCR di Indonesia, Ann Maymann dalam satu kenyataan.
Seramai 26 orang maut ketika dalam perjalanan, manakala mereka yang diselamatkan mengalami dehidrasi dan keletihan selepas hanyut selama sebulan, menurut kenyataan itu.
Pelarian Rohingya yang sebelum ini tinggal di khemah sementara di Bangladesh berkata kekecewaan mendorong mereka untuk mengambil langkah yang membahayakan nyawa.
"Kami dianggap sebagai warga Myanmar yang dipindahkan secara paksa tanpa sebarang status pelarian. Anak-anak kami sedang membesar tanpa menerima pendidikan yang sewajarnya. Dalam persekitaran yang terhad di Bangladesh, kami takut menjadi generasi yang hilang," kata Amir Ali, seorang pemuda Rohingya.
Beliau juga berkata tiada sebarang persetujuan bagi penghantaran pulang Rohingya secara aman dan bermaruah ke negeri Rakhine Myanmar dalam masa terdekat.
Lebih 2,000 orang dilaporkan melakukan perjalanan berisiko di Laut Andaman dan Teluk Bengal tahun ini dan hampir 200 lagi dilaporkan meninggal dunia, menurut UNHCR.
Agensi pelarian itu turut menerima laporan bahawa sebuah lagi bot yang dinaiki 180 orang masih hilang, dengan semua penumpang dipercayai sudah mati.
Bangladesh kini menjadi tuan rumah kepada lebih 1.2 juta Rohingya di 33 kem di Cox's Bazar dan kebanyakan mereka melarikan diri daripada tindakan kejam tentera Myanmar pada 2017.
-- BERNAMA