Lebih 200 pelajar diculik di Nigeria, kes terbesar sejak 2021
Agensi
Mac 8, 2024 12:42 MYT
Mac 8, 2024 12:42 MYT
LEBIH 280 pelajar sekolah diculik di bandar Kuriga di barat laut Nigeria pada Khamis, yang disifatkan sebagai kes penculikan terbesar sejak 2021.
Semua murid dikatakan berada di kawasan perhimpunan sekitar jam 8.30 pagi (waktu tempatan) sebelum berpuluh-puluh lelaki bersenjata bermotosikal datang ke sekolah itu, lapor BBC.
Pelajar yang berumur antara lapan hingga 15 tahun itu dibawa lari bersama seorang guru, kata penduduk tempatan.
Mereka berkata, kumpulan yang sama itu telah menculik ratusan orang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya di barat laut Nigeria.
Kejadian berkenaan disahkan oleh Uba Sani, gabenor negeri Kaduna, termasuk Kuriga.
Beliau berkata 187 pelajar disahkan hilang dari Sekolah Menengah Kerajaan dan 125 dari sekolah rendah tempatan tetapi 25 telah kembali.
Sementara itu, saksi berkata, seorang murid ditembak lelaki bersenjata dan sedang menerima rawatan perubatan di hospital Birnin Gwari.