Lebih 20 maut selepas minum arak buatan sendiri di Jogjakarta
Agensi
Februari 8, 2016 08:58 MYT
Februari 8, 2016 08:58 MYT
Sekurang-kurangnya 24 orang disahkan mati akibat mencuba minuman keras buatan sendiri di sini sejak beberapa hari lalu, dengan antara yang terkorban adalah golongan mahasiswa, lapor Reuters.
Pihak polis telah menahan dua orang pengusaha warung di sebuah kampung dalam wilayah Sayegan, Sleman kerana menjual arak buatan sendiri yang dipercayai mengandungi kandungan yang membahayakan kesihatan.
Media tempatan pula melaporkan, pasangan suami isteri itu disyaki menjual minuman keras berkenaan dengan campuran etanol pada kadar 96 peratus.
“Polis telah menghantar sampel minuman keras yang dicampur bahan berbahaya itu ke makmal di Semarang untuk diuji,” kata Ketua Polis Sleman, Yulianto, seperti yang dilapor MetroTV.
Sementara itu, lebih 20 lagi mangsa sedang dirawat di hospital. Keadaan mereka yang masih kritikal membuatkan pihak berkuasa masih belum mendapat maklumat penuh untuk menjejaki keseluruhan insiden tersebut.
Tambah Yulianto, pihak polis mengesyaki ada kaitan antara semua mangsa walaupun mereka yang sakit dan maut didapati memperoleh minuman di tempat dan waktu yang berbeza.
Kematian akibat mencuba minuman keras buatan sendiri bukan suatu yang asing di Indonesia, khususnya di kawasan luar bandar kerana orang kampung yang tidak berkemampuan untuk membeli arak yang berlesen.