Lebih 20 ditahan dalam rusuhan di Copenhagen
Astro Awani
April 15, 2019 19:32 MYT
April 15, 2019 19:32 MYT
Lebih 20 orang ditahan dalam rusuhan yang tercetus ekoran perhimpunan anjuran parti sayap kanan Denmark, di kawasan kejiranan penduduk Islam di daerah Norrebro di Copenhagen.
Kejadian bermula apabila Rasmus Paludan, peguam yang menuntut hak kebebasan bersuara, melambung kitab Al-Quran ke udara beberapa kali dalam satu demonstrasi yang dikawal rapi pihak polis.
"Seramai 23 orang telah ditahan dalam insiden rusuhan yang berlarutan sepanjang malam itu.
"Hari ini kami merancang untuk meneruskan prosiding ke atas enam daripada yang ditahan," kata polis Copenhagen pada Isnin.
Pada Ahad, Paludan yang juga ketua parti Stram Kurs, bersama penyokongnya, mengadakan demonstrasi di kawasan kejiranan Copenhagen tersebut.
Rusuhan tercetus apabila penduduk tempatan menyerang penunjuk perasaan, memaksa polis menggunakan gas pemedih mata.
Dalam Twitternya, Perdana Menteri Denmark, Lars Løkke Rasmussen menyelar kejadian itu dan menyifatkannya sebagai "provokasi yang tidak boleh diterima akal."
#Copenhagen
#demonstrasi
#Denmark
#Lars Lokke Rasmussen
#parti sayap kanan
#penduduk Islam
#perhimpunan
#polis
#provokasi
#Rasmus Paludan
#rusuhan
#Twitter