Lebih 2,000kg gading dirampas di Vietnam dan Thailand

Agensi
Disember 18, 2015 07:46 MYT
Hampir tiga tan gading telah dirampas di Vietnam dan Thailand, sekali gus menunjukkan aktiviti pasaran gelap melibatkan haiwan masih berleluasa. - Foto AFP
Lebih dua tan gading gajah telah dirampas di Vietnam dan Thailand, menunjukkan perdagangan pasaran gelap melibatkan haiwan masih berkembang pesat di Asia Tenggara, menurut penguatkuasa tempatan pada Jumaat.
Sebanyak 2.2 tan gading yang berasal dari Mozambique telah dijumpai pada Khamis, ditanam bersama beberapa guni kacang, kata seorang pegawai Kastam dari pelabuhan utara Hai Phong kepada AFP, yang tidak mahu namanya disiarkan.
Sementara itu di Thailand, pegawai hidupan liar telah merampas lebih 700kg gading pada minggu lepas di Pulau Koh Samui.
Seorang pegawai kastam memberitahu AFP, gading tersebut dijumpai di dalam sebuah bekas kargo yang ditanda sebagai membawa muatan berisi rambut palsu rambut.
Kargo itu juga tertera maklumat yang ia dibawa dari Singapura dan bakal dihantar ke Laos.
Gading dan beberapa bahagian badan gajah lain menjadi buruan sebagai hiasan azimat dan kegunaan perubatan tradisional di beberapa negara di Asia, dengan China menjadi pasaran utama produk tersebut.
Perdagangan antarabangsa yang melibatkan gading telah diharamkan sejak 1989, berikutan penurunan jumlah populasi gajah Afrika daripada berjuta-juta pada pertengahan abad ke-20 kepada hanya 600,000 pada akhir tahun 1980-an.
Penurunan jumlah hidupan mamalia itu bagaimanapun tidak menghalang kumpulan-kumpulan pasaran gelap untuk terus mengeksploitasi permintaan yang tidak pernah suram di Asia.
#Asia Tenggara #gading #hai phong #Thailand #Vietnam
;