Lebih 19 juta jemaah umrah kunjungi Masjidil Haram sepanjang 20 hari Ramadan

Bernama
April 12, 2023 09:51 MYT
Jabatan juga menyediakan perkhidmatan sosial dan melibatkan sumber manusia yang memberi manfaat kepada 901,951 jemaah. - Gambar fail/ Twitter@Shamenkingz
MEKAH: Kerajaan Arab Saudi melalui pengurusan Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berusaha menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada lebih 19 juta jemaah yang mengerjakan umrah sepanjang 20 hari Ramadan di Masjidil Haram.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), statistik yang dikeluarkan jabatan itu hari ini menunjukkan bilangan jemaah yang mengunjungi Masjidil Haram mencecah 19,608,573 orang sehingga semalam.
Timbalan Ketua Am bahagian pengukuran kualiti kepimpinan kreativiti dan kecemerlangan institusi di jabatan itu Samir bin Saad Al Suwehry berkata pihaknya menumpukan sebahagian besar usaha untuk menyediakan perkhidmatan kepada jemaah.
Beliau berkata perkhidmatan itu termasuk pengagihan 1,045,104 botol air Zamzam berjumlah 30,257,874 liter (L), proses pembersihan menggunakan 655,990L cecair pembasmi kuman untuk mensterilkan permaidani dan sejadah.
Proses pembersihan dan pensterilan di Masjidil Haram juga termasuk penyediaan 105,810L sabun pencuci tangan, 103,625L cecair pembasmi kuman yang diagihkan oleh robot, 100,535L cecair biocare, 653,360L cecair pembasmi kuman permukaan, selain telah menggunakan 2,600,000L pembasmi kuman permukaan, katanya.
Selain itu, jabatan juga menyediakan perkhidmatan sosial dan melibatkan sumber manusia yang memberi manfaat kepada 901,951 jemaah.
Al Suwehry berkata usaha ini adalah arahan daripada Ketua Pengarah jabatan itu, Sheikh Dr Abdul Rahman Al Sudais yang mahu memanfaatkan keupayaan manusia dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) termaju dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada jemaah terutama sepanjang Ramadan.
--BERNAMA
#Arab Saudi #umrah #Ramadan #Masjidil Haram