Lebih 185,000 lembu dijangkiti LSD di India
Astro Awani
September 25, 2022 06:15 MYT
September 25, 2022 06:15 MYT
NEW DELHI: Penyakit kulit kental atau lumpy skin disease (LSD) terus menjejaskan populasi lembu di India selepas ia menjangkiti 185,000 ekor lembu.
Penyakit yang boleh tersebar melalui gigitan serangga vektor seperti nyamuk atau lalat sebelum berjangkit menerusi rembesan air liur dan hidung ternakan itu juga mengorbankan 75,000 ekor lembu setakat September.
Penyakit ini menyebabkan demam akut, lelehan cecair dari mata dan hidung, air liur, bintik-bintik lembut seperti lepuh di seluruh badan dan kesukaran untuk makan.
LSD merupakan satu endemik di kebanyakan negara Afrika dan mula merebak ke China dan Asia Tenggara sejak 2019 di mana hanya lembu dan kerbau dijangkiti.
Untuk membendung rantaian penularan, langkah telah diambil di negeri yang terjejas seperti menyembur racun serangga nyamuk di ladang lembu, mengasingkan lembu yang dijangkiti dan meletakkan larangan pergerakan.
Selain itu, sejumlah 9.7 juta dos vaksin telah diedarkan sejak awal September, kata media tempatan memetik data rasmi.