Lebih 18,000 rakyat Lubnan masuk ke Iraq susulan serangan Israel

Bernama
November 10, 2024 17:51 MYT
Lebih 3,100 orang terbunuh dan lebih 13,800 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak Okt 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan. - AP
AMMAN: Lebih 18,000 rakyat Lubnan telah memasuki Iraq sejak serangan udara Israel ke atas Lubnan bermula pada akhir September, menurut pihak berkuasa Iraq pada Ahad.
"Usaha sedang dijalankan untuk menerima tetamu Iraq daripada warga Lubnan secara berperingkat," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Alaa al-Din al-Qaisi, jurucakap Pihak Berkuasa Pelabuhan Sempadan Iraq, yang disiarkan agensi berita rasmi INA.
Beliau berkata kemasukan itu berikutan arahan Perdana Menteri Iraq Mohammed Shia Al-Sudani untuk membenarkan kemasukan tanpa visa bagi rakyat Lubnan.
Jurucakap itu berkata lebih 18,000 warga Lubnan telah tiba di Iraq sejak 27 Sept.
Serangan udara Israel di Lubnan sedang berlangsung sejak akhir September, dengan alasan menyasarkan kedudukan Hizbullah, peningkatan dalam serangan rentas sempadan selama setahun sejak konflik Gaza bermula.
Lebih 3,100 orang terbunuh dan lebih 13,800 yang lain cedera dalam serangan Israel sejak Okt 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.
Israel melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan pada 1 Okt.
-- BERNAMA
#rakyat lubnan #serangan Israel #Iraq #serangan udara
;