Lebih 120,000 rumah di Queensland alami gangguan bekalan elektrik akibat ribut petir
Bernama
Disember 26, 2023 16:35 MYT
Disember 26, 2023 16:35 MYT
SYDNEY: Seorang wanita maut manakala lebih 120,000 rumah terputus bekalan elektrik di Queensland Australia susulan ribut petir yang melanda bahagian tenggara negeri itu pada malam Krismas, lapor media tempatan pada Selasa.
Wanita berusia 50-an itu meninggal dunia di Helensvale, pinggir bandar Gold Coast, selepas sebatang pokok tumbang menghempapnya semasa beliau berjalan kaki, lapor Xinhua memetik akhbar tempatan The Courier-Mail.
Menurut akhbar itu, kira-kira 127,000 rumah terputus bekalan elektrik di Gold Coast, Scenic Rim dan Logan.
Gangguan itu mungkin berlarutan selama beberapa hari ketika kru syarikat elektrik tempatan Energex bertungkus lumus membaiki sebanyak 875 talian elektrik yang terjejas akibat ribut petir berkenaan.
Sementara itu, amaran ribut petir baharu dikeluarkan pada petang Selasa, dengan beberapa kawasan di pinggir bandar Brisbane dilanda hujan batu sebesar bola golf.
Penyiar ABC News Australia pada Sabtu melaporkan bahawa ribut petir mungkin melanda timur Australia semasa tempoh Krismas tahun ini disebabkan oleh corak cuaca yang luar biasa.
Menurut laporan itu ribut petir di negeri-negeri di tenggara Australia berlarutan dari malam Krismas hingga Boxing Day atau dari Ahad hingga Selasa.
-- BERNAMA