Lebih 100 pendatang diselamatkan di Pulau Mykonos, empat hilang

Astro Awani
Jun 19, 2022 06:15 MYT
Operasi menyelamat lebih 100 pendatang di Pulau Mykonos. - Foto AP
LAUT AEGEAN: Lebih 100 pendatang diselamatkan dari Pulau Mykonos di Laut Aegean dan empat lagi masih hilang.
Serentak itu, kata pengawal pantai Greece, operasi menyelamat berskala besar pendatang sedang dijalankan di dua batu di selatan Pulau Delos.
Kenyataan menyebut, setakat ini 108 pendatang diselamatkan, manakala menurut mereka yang terselamat, empat orang hilang.
Antara yang diselamatkan, 24 wanita dan 21 kanak-kanak, manakala tiga orang dibawa ke pusat kesihatan di Mykonos.
Polis pelabuhan yang menjawab panggilan kecemasan, menghantar tiga bot dan sebuah bot tunda untuk membantu kapal yang datang dari Turki.
Bot tunda sampai ke bot layar yang membawa pendatang tetapi tidak menariknya atas faktor keselamatan kerana dinaiki air dan berlaku ribut kencang.
Semua pendatang itu pada mulanya dibawa ke pulau kecil berbatu berhampiran bot lain dan dibawa ke Mykonos awal pagi Ahad.
Usaha mencari dan menyelamat masih diteruskan.
Menteri Migrasi Greece, Notis Mitarachi sebelum ini menulis di Twitter, lapan pendatang hilang dan 104 diselamatkan dalam insiden tersebut.
Beliau juga menyeru kerajaan Turki untuk melindungi nyawa manusia dan menghapuskan rangkaian penyeludupan.
Greece melindungi sempadannya dengan penuh keazaman, tetapi keutamaannya adalah melindungi nyawa manusia, kata Menteri Perkapalan Giannis Plakiotakis.
Pada Mei, pihak berkuasa Greece berkata mereka menghalang kira-kira 600 pendatang daripada menyeberangi Laut Aegean dari negara jiran Turki, dalam cubaan kemasukan terbesar ke negara itu tahun ini.
Kementerian Migrasi berkata, aliran migrasi ke pulau-pulau Greece dalam empat bulan pertama 2022 adalah hampir 30 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
#pendatang #Pulau Mykonos #Pulau Delos #operasi menyelamat
;