Lebih 100 pendatang diselamatkan di Pulau Canary
Bernama
Januari 16, 2024 20:03 MYT
Januari 16, 2024 20:03 MYT
MADRID: Lebih 100 pendatang tanpa izin diselamatkan dari dua bot berhampiran Pulau Canary, lapor Sputnik, memetik Pusat Penyelarasan Keselamatan dan Kecemasan Pulau Canary pada Isnin.
"Perkhidmatan Las Palmas bertindak sebagai penyelaras untuk menyelamatkan pendatang berkenaan di timur Lanzarote.
"Satu daripada bot itu membawa 56 orang dan telah diselamatkan oleh kapal Guardamar Caliope.
"Sebuah lagi bot dinaiki 52 orang dan diselamatkan oleh kapal Guardamar Polimnia. Kesemua mereka dibawa ke pelabuhan Arrecife," kata agensi itu di platform X.
Sekumpulan besar pendatang tanpa izin sering cuba menyeberangi sempadan selatan dan pulau Sepanyol.
Pada penghujung Oktober, kerajaan Sepanyol memperuntukkan EUR50 juta (US$54.6 juta) kepada Pulau Canary untuk menangani krisis kebanjiran pendatang.
Pada pertengahan November, Kementerian Dalam Negeri Sepanyol berkata seramai 46,862 pendatang tanpa izin tiba di Sepanyol dari 1 Januari hingga 15 November 2023, meningkat 62 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022. Daripada jumlah ini, hampir 32,500 tiba di Pulau Canary.
-- BERNAMA