Lebih 100 pawagam bakal siar istiadat pengebumian Ratu Elizabeth II

Astro Awani
September 18, 2022 01:40 MYT
Keranda mendiang Ratu Elizabeth II dibawa ke Dewan Westminster di Istana Westminster di London, pada Rabu, 14 Sept 2022. -Gambar fail/AP
LONDON: Upacara pengebumian Ratu Elizabeth II akan ditayangkan di 125 pawagam di seluruh Britain.
Acara istiadat itu turut akan ditayangkan di skrin tontonan yang disediakan di taman, dataran dan katedral.
Jabatan Kebudayaan Britain dalam satu kenyataan berkata, upacara pengebumian di Westminster Abbey dan perarakan berkaitan di seluruh London juga akan ditayangkan secara langsung di televisyen oleh BBC, ITV dan Sky.
Presiden, perdana menteri dan anggota diraja dari seluruh dunia dijangka menghadiri pengebumian raja paling lama memerintah Britain itu yang meninggal dunia pada 8 September di usia 96 tahun.
Kerajaan Britain telah mengisytiharkan cuti umum untuk istiadat pengebumian itu.
Upacara itu dijangka mendapat penonton yang lebih tinggi daripada yang dilihat untuk acara utama lain dalam sejarah British, termasuk pengebumian Puteri Diana pada 1997, Sukan Olimpik London 2012 dan perkahwinan diraja.
Sementara itu, Persatuan Pawagam UK berkata, kemasukan ke pawagam adalah percuma dengan kebanyakan tayangan sudah tersedia.
Beratus-ratus ribu orang telah berbaris selama berjam-jam minggu ini untuk memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth II, di mana kerandanya ditempatkan di Westminster Hall hingga awal Isnin.
#Ratu Elizabeth II #Westminster Abbey #disiar secara langsung di televisyen #istiadat pengebumian