Lebih 10,000 orang hilang di bawah runtuhan di Semenanjung Gaza sejak 7 Okt

Bernama
April 30, 2024 22:00 MYT
Lebih 10,000 orang masih hilang di bawah runtuhan di seluruh Semenanjung Gaza sejak bermulanya serangan Israel pada 7 Okt 2023. - Gambar fail/REUTERS
ANKARA: Perkhidmatan Pertahanan Awam Palestin pada Selasa berkata lebih 10,000 orang masih hilang di bawah runtuhan di seluruh Semenanjung Gaza sejak bermulanya serangan Israel pada 7 Okt 2023, lapor Agensi Anadolu.
"Kami menganggarkan terdapat lebih 10,000 orang hilang di bawah runtuhan ratusan rumah yang musnah sejak permulaan pencerobohan Israel," menurut kenyataan oleh Pertahanan Awam Palestin.
Ia menyatakan mereka yang hilang tidak termasuk dalam senarai angka kematian Kementerian Kesihatan, oleh itu jumlah syahid melebihi 44,000 orang.
Menurut kenyataan itu, pasukan penyelamat mula menemukan mayat yang telah reput sepenuhnya dari bangunan di utara Gaza.
Israel melancarkan serangan kejam ke atas Gaza sejak 7 Okt tahun lepas.
Lebih 34,500 warga Palestin terbunuh kebanyakan wanita dan kanak-kanak dan lebih 77,700 yang lain cedera menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barangan keperluan yang teruk.
Serangan lebih enam bulan itu menyaksikan sebahagian besar infrastruktur di wilayah terkepung itu rosak atau musnah, menyebabkan 85 peratus penduduk di wilayah itu hilang tempat tinggal di tengah-tengah kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Rejim itu dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Keputusan interim pada Januari lepas mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.
-- BERNAMA
#Semenanjung Gaza #hilang bawah runtuhan #Palestin #serangan Israel
;