Lebih 1,800 kes mpox disahkan di Afrika dari 20 Oktober hingga 3 November - WHO
Bernama
November 12, 2024 18:50 MYT
November 12, 2024 18:50 MYT
GENEVA: Lebih 1,800 kes mpox (nama baharu bagi monkeypox) yang disahkan melalui ujian makmal dilaporkan di Afrika sejak 20 Oktober hingga 3 November, lapor Agensi Berita Rusia (TASS), memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut WHO, Republik Demokratik Congo mencatatkan peningkatan terbesar dalam kes dan kematian sepanjang tempoh ini.
Setakat 3 November, sejumlah 11,140 kes disahkan jangkitan mpox dan 53 kematian direkodkan di Afrika sejak 1 Januari, dengan peningkatan sebanyak 1,828 kes dan 19 kematian berbanding 20 Oktober.
Di Congo, jumlah kes meningkat sebanyak 1,128 kes sejak 20 Oktober menjadi 8,662, sementara jumlah kematian bertambah sebanyak 18 menjadi 43.
Dari 1 Januari 2022 hingga 30 September tahun ini, sebanyak 109,699 kes mpox dikesan di 123 negara, termasuk 236 kematian.
Keadaan darurat kesihatan global mpox mula dikuatkuasakan pada Julai 2022 hingga 11 Mei 2023. Keputusan untuk menamatkannya dibuat susulan penurunan kes, namun pada 14 Ogos tahun ini, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengembalikan status darurat kesihatan disebabkan oleh wabak mpox di Afrika.
-- BERNAMA