Lebih 1.8 juta lintas pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sepanjang 7-10 Mac
Bernama
Mac 12, 2024 18:57 MYT
Mac 12, 2024 18:57 MYT
SINGAPURA: Lebih 1.8 juta pelancong melintasi pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sempena cuti sekolah dari 7 hingga 10 Mac 2024, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA).
Agensi itu berkata kira-kira 495,000 pelancong menyeberangi pusat pemeriksaan darat itu pada 8 Mac, melepasi kemuncak sebelumnya kira-kira 485,000 pelawat pada Ogos 2019, sebelum COVID-19.
Menurut ICA, trafik dijangka kekal padat di kedua-dua pusat pemeriksaan darat itu sepanjang cuti persekolahan pada Mac dan pelancong diminta memeriksa keadaan lalu lintas sebelum memulakan perjalanan. Masa menunggu dijangka lebih lama mengambil kira lebih banyak masa untuk pelepasan imigresen.
"Kami berharap orang ramai dapat memahami dan bersabar dan meminta agar tidak memotong barisan, mematuhi peraturan lalu lintas dan beri kerjasama kepada pegwai di lapangan," menurut SIC dalam kenyataan pada Selasa.
Agensi itu berkata ia akan terus mengkaji semula operasi di pusat pemeriksaannya, memperkenalkan inisiatif inovatif dan memperkemas serta mengautomasikan proses sedia ada untuk pelepasan imigresen yang lebih cepat dan lancar untuk pelancong.
-- BERNAMA