Lebih 1.6 juta kanak-kanak kurang nutrisi pada 2024

Bernama
November 7, 2023 05:00 MYT
Kelihatan kanak-kanak berkumpul pada satu acara di kejiranan Philip, Pelabuhan Sudan, Sudan. Menurut WFP, kanak-kanak di Sudan Selatan dijangka paling teruk terjejas akibat kekurangan nutrisi makanan. - Gambar fail REUTERS
GENEVA: Program Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran lebih 1.6 juta kanak-kanak di bawah umur lima tahun dijangka mengalami kekurangan nutrisi makanan atau malnutrisi pada 2024 dan kanak-kanak di Sudan Selatan paling teruk terjejas.
Memetik data Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC), WFP dalam satu kenyataan berkata kawasan terjejas banjir mengalami kekurangan nutrisi makanan yang teruk akibat penularan penyakit bawaan air dan keadaan sesak.
Keadaan itu diburukkan lagi oleh akses terhad kepada makanan dan sumber pendapatan.
Akibatnya, wilayah terjejas banjir di Sudan Selatan dijangka menghadapi tahap malnutrisi yang ekstrem pada separuh pertama tahun 2024, kata agensi itu, lapor Agensi Anadolu.
"Inilah realiti kehidupan...Kami melihat peningkatan yang sangat membimbangkan dalam kekurangan nutrisi makanan.
"Penularan penyakit bawaan air menjejaskan usaha dilakukan oleh agensi kemanusiaan dalam mencegah dan merawat kekurangan nutrisi makanan dan kanak-kanak yang paling teruk mengalami kesannya," kata Pengarah Negara WFP di Sudan Selatan, Mary-Ellen McGroarty.
Sementara itu, McGroarty berkata daerah Rubkona di Sudan dijangka berada dalam IPC Acute Malnutrition Phase 5 menjelang April 2024 buat kali pertama.
Banjir disebabkan oleh limpahan lembah Sungai Nil, terutamanya Tasik Victoria yang menerima hujan melebihi purata pada 2023, bermakna banjir besar itu tidak mungkin surut, menurut WFP.
-- BERNAMA
#kanak-kanak kurang nutrisi #Sudan #WFP #malnutrisi kanak-kanak
;