Lebih 1,000 terbunuh, hampir 5,000 cedera dalam serangan di Ghouta

Agensi
Mac 9, 2018 13:02 MYT
Orang ramai berkumpul berdekatan konvoi kenderaan Pertubuhan Bulan Sabit Merah Syria di Douma, timur Ghouta, sebuah kawasan di pinggiran Damsyik, Syria, 5 Mac, 2018. Foto AP / Fail
Lebih 1,000 orang terbunuh manakala hampir 5,000 cedera dalam pergolakan melibatkan serangan dari rejim Bashar Al Assad dan kumpulan pembangkang bersenjata di timur Ghouta.
Angka itu didedahkan badan perubatan kemanusiaan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) pada Khamis, yang merekodkan jumlah tersebut dari tempoh 18 Februari hingga 4 Mac.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, 15 dari 20 fasiliti perubatan yang disediakan badan itu telah dibom dalam beberapa siri serangan udara dan darat.
"MSF mengulangi seruannya agar gencatan senjata dilaksanakan segera bagi membolehkan bekalan perubatan dibawa masuk ke kawasan yang dikepung untuk merawat orang sakit dan cedera," katanya.
Sementara itu, pada awal Khamis, Badan Pemantau Syria untuk Hak Asasi Manusia mengatakan bahawa lebih daripada 13 orang terbunuh dalam serangan udara dan pengeboman terkini di beberapa bandar di timur Ghouta.
Resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini di Syria dilihat gagal walaupun dengan adanya campur tangan Rusia yang bersetuju membantu menghentikan serangan di wilayah itu.
#bom #cedera #PBB #pembangkang #perubatan #Rusia #serangan #Syria
;