Lebih 1,000 aduan berkenaan botox, 'filler' di UK
Agensi
November 24, 2018 07:16 MYT
November 24, 2018 07:16 MYT
HAMPIR 1,000 aduan mengenai prosedur rawatan dan pembedahan botox dan filler dibuat pada tahun lalu di United Kingdom.
Jangkitan adalah isu terbesar yang dialami mereka yang mendapatkan rawatan, manakala mereka yang menjalani rawatan lip filler pula terpaksa menjalani proses pemulihan di Pusat Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Fakta ini berdasarkan laporan terbaharu Save Face, pengamal bukan pembedahan terakreditasi terbesar di UK, mencerminkan trend yang semakin meningkat dalam pembedahan botox dan facial filler, biarpun industri itu tidak mempunyai peraturan yang tegas.
Daripada 995 aduan yang diterima, lebih daripada dua pertiga (688 prosedur) membabitkan rawatan dermal fillers, yang disuntik ke kulit untuk menghilangkan kedut atau mengubah ciri-ciri tertentu seperti bibir atau bawah mata.
Hampir satu perempat (233 rawatan) pula adalah berkaitan dengan botox.
Menteri Kesihatan Jackie Doyle-Price memberitahu portal HuffPost UK: "Sering kali orang ramai ditipu oleh penyedia prosedur kosmetik yang tidak berdaftar, dengan janji-janji palsu mengenai hasil dan masa pemulihannya.
"Sebenarnya, jika tidak dilakukan di tempat yang betul dan oleh individu profesional yang terlatih, prosedur ini akan menjadi berbahaya dan berisiko menyebabkan komplikasi."
Perangkaan terbaharu ini, kata pakar, adalah berpunca daripada kekurangan peraturan dan peningkatan pengamal yang tidak berlesen.
Selain itu, tawaran harga murah, iklan di Instagram dan pengaruh rancangan realiti TV juga menjadi penyumbang kepada peningkatan permintaan, khususnya dalam kalangan anak muda.