Layanan terhadap burung kiwi di zoo AS cetus kemarahan di New Zealand

Bernama
Mei 23, 2023 18:49 MYT
Layanan ke atas burung kiwi di zoo Amerika Syarikat mencetuskan kemarahan di New Zealand, dengan petisyen dilancarkan pada Selasa untuk menyelamatkan haiwan asli itu. -Video tular
WELLINGTON: Layanan ke atas burung kiwi di zoo Amerika Syarikat mencetuskan kemarahan di New Zealand, dengan petisyen dilancarkan pada Selasa untuk menyelamatkan haiwan asli itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Zoo Miami mengenakan bayaran kira-kira US$20 kepada pengunjung untuk pengalaman mendekati burung malam yang dipanggil Paora.
Video yang dikongsi dalam talian oleh zoo menunjukkan seekor Paora dibelai dan dirakam dalam swafoto di bawah cahaya terang.
Jabatan Pemuliharaan New Zealand menghargai mereka yang menyuarakan kebimbangan masing-masing tentang burung itu.
"Walaupun kiwi luar pesisir diurus secara berasingan, kami akan membincangkan situasi itu dengan Persatuan Zoo dan Akuarium Amerika bagi menangani beberapa masalah mengenai pengendalian burung itu yang dibangkitkan," katanya di Twitter.
Petisyen untuk "menyelamatkan kiwi yang dianiaya ini" telah dilancarkan dalam talian.
"Paora telah dijinakkan dan terdedah kepada pencahayaan terang empat hari seminggu, dikendalikan oleh berpuluh-puluh orang yang tidak dikenali, dibelai pada misai sensitifnya, ditertawakan dan diperagakan seperti mainan.
"Kiwi adalah Taonga (harta karun) kami yang berharga, bukan mainan Amerika," menurut petisyen itu.
Penganjur berharap petisyen itu akan "mendorong siasatan" terhadap keadaan burung itu dan menempatkannya ke tempat yang lebih sesuai.
Telur Paora dihantar ke Zoo Miami pada tahun 2019 sebagai sebahagian daripada perjanjian pinjaman khas antara Smithsonian National Zoo dan kerajaan New Zealand.
Burung-burung itu yang tidak boleh terbang merupakan ikon negara New Zealand dan lambang tidak rasmi negara.
-- BERNAMA
#kiwi #Zoo Miami #cetus kemarahan di New Zealand #Paora
;