Lawrence Wong dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Singapura

Firdaus Azil
Jun 6, 2022 08:22 MYT
Lee Hsien Loong melalui laman Instagramnya mengumumkan, pelantikan Wong merupakan sebahagian rombakan kabinet, berkuat kuasa 13 Jun ini. - Facebook Lawrence Wong
SINGAPURA: Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong telah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu.
Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong melalui laman Instagramnya mengumumkan, pelantikan Wong merupakan sebahagian daripada rombakan Kabinet, yang berkuat kuasa 13 Jun ini.
Selain itu Lee berkata, Wong juga akan memangku jawatan sebagai Perdana Menteri sepanjang ketiadaan beliau.
“Mengumumkan rombakan terhadap Kabinet, dan beberapa pelantikan lain hari ini. Ia akan berkuat kuasa 13 Jun ini.
“Lawrence Wong akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau akan menjadi pemangku Perdana Menteri sepanjang ketiadaan saya. Lawrence dan Heng Swee Keat akan akan menjadi Timbalan Perdana Menteri secara serentak,” katanya lagi.
Menurut agensi berita Channel NewsAsia, rombakan itu berlaku selepas dua bulan Wong dinamakan sebagai Pemimpin Generasi Keempat (4G), sekali gus memberi bayangan untuk beliau menggantikan Lee sebagai Perdana Menteri seterusnya.
Wong, 49, dilihat membuat keputusan penting sebagai pengerusi bersama pasukan petugas khas pelbagai kementerian COVID-19.
Beliau juga menjawat jawatan sebagai timbalan pengerusi Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS).
Kali terakhir rombakan dibuat ialah pada April 2021, dua minggu selepas Heng mengumumkan beliau tidak akan meneruskan tugas sebagai Pemimpin 4G.
Susulan pengumuman itu, Wong telah diberi tugas untuk memegang portfolio kewangan dalam barisan Kabinet.
“Saya juga mengubah kedudukan beberapa pemegang jawatan sedia ada kepada kementerian berlainan, memberikan mereka portfolio baharu dan tanggungjawab baharu.
“Kepimpinan seterusnya kini sedang mengambil alih. Saya menyeru semua pihak untuk memberikan sokongan penuh anda kepada rombakan yang penting ini, untuk memandu Singapura keluar daripada pandemik dengan selamat, dan kepada masa depan lebih cerah,” kata Perdana Menteri Lee lagi.
#Lee Hsien Loong #Lawrence Wong #Perdana Menteri Singapura #Timbalan Perdana Menteri Singapura