Lawatan sulung Narendra Modi ke Kaherah perkukuh hubungan Mesir-India

Agensi
Jun 25, 2023 07:45 MYT
Abdel Fattah (kanan) berjabat tangan dengan Modi dalam pertemuan dua pemimpin itu di Kaherah, Mesir, 25 Jun 2023. (Foto AP)
MESIR dan India memperkasakan hubungan dalam bidang perdagangan, keselamatan makanan dan pertahanan menerusi lawatan rasmi Perdana Menteri Narendra Modi ke ibu negara Kaherah, pada Ahad.
Dalam lawatan sulung beliau ke Mesir itu, Modi bertemu dengan Presiden Abdel Fattah al-Sisi dan anggota Unit India Kabinet Mesir yang khusus memberi fokus kepada hubungan bilateral dengan negara India.
Unit tersebut merupakan inisiatif yang diumumkan Abdel Fattah ketika beliau mengadakan lawatan rasmi ke India pada Januari lalu.
India dan Mesir sepakat meningkatkan hubungan dua hala kepada "perkongsian strategik" semasa lawatan tersebut.
Kedua-dua pemerintah berkata, perbincangan yang berlangsung mencakupi pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, tenaga, teknologi maklumat dan farmasi.
"Pada pertemuan tersebut, Perdana Menteri (Modi) dan Presiden Abdel Fattah juga membincang kerjasama mendalam berhubung gagasan G20, selain memberi tumpuan pada isu-isu keselamatan makanan, tenaga, perubahan iklim serta keperluan penyatuan suara Global South,” katanya menurut kenyataan dikeluarkan pejabat Modi.
India juga sedang mempertimbang cadangan untuk membolehkan Mesir yang sedang berhadapan kesulitan membawa masuk pelabur, melakukan urus niaga dagangan antara kedua negara itu dalam mata wang Rupee, demikian Reuters melaporkan pada awal bulan ini, memetik sumber.
Bagaumanapun, cadangan berkenaan tidak pula dimaklumkan dalam kenyataan yang dikeluarkan pejabat Modi pada Ahad.
India dilihat ingin meningkatkan hubungan dengan Mesir yang sebahagiannya untuk memastikan perdagangan melalui Terusan Suez.
Jumlah nilai eksport India ke Mesir berjumlah AS$4.11 bilion pada tahun lalu, sementara nilai import pula adalah sebanyak AS$1.95 bilion.
Dalam kunjungan selama dua hari ke Kaherah, Modi juga melawat Masjid Al Hakim yang dibina pada abad ke-11.
Masjid berkenaan pernah melalui proses ubah suai oleh masyarakat Muslim Bohra iaitu golongan Syiah yang juga mempunyai sejumlah pengikut yang besar di kampung halaman Modi di Gujerat, India.
Modi yang juga seorang nasionalis Hindu, jarang sekali melakukan kunjungan ke masjid sebagai Perdana Menteri. - Agensi
#India #Mesir #Perdana Menteri Narendra Modi #Presiden Abdel Fattah al-Sisi
;