Lawatan rasmi: PM Anwar tiba di Beijing
Hasimi Muhamad
Mac 30, 2023 16:47 MYT
Mac 30, 2023 16:47 MYT
BEIJING: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Beijing, bagi meneruskan lawatan rasmi empat hari beliau ke China.
Pesawat khas yang membawa Anwar, yang juga Menteri Kewangan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing pada pukul 4.28 petang waktu tempatan.
Sebelum itu, pesawat berkenaan berlepas dari Hainan pada pukul 12.30 tengah hari selepas Anwar selesai menghadiri Forum Tahunan Boao untuk Asia (BFA) 2023.
Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Sebaik tiba, Perdana Menteri disambut oleh Timbalan Ketua Kedutaan Besar Malaysia di China, Sanmugan Subramaniam dan Timbalan Menteri Luar China, Sun Weidong.
Beliau dijadual menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama lebih 200 rakyat Malaysia di China dan delegasi di Kedutaan Besar Malaysia pada malam ini.
Dengan jadual padat, Anwar pada Jumaat akan menyampaikan ucapan di Universiti Tsinghua, yang merupakan salah satu universiti tersohor di republik itu.
Pada hari sama juga, Perdana Menteri akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping.
Ini merupakan lawatan rasmi sulung Anwar ke China sejak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 November tahun lalu.
China menjadi negara Asia Timur pertama yang dikunjungi Anwar, dan antara pemimpin terawal melawat Beijing selepas perlantikan semula Jinping untuk penggal ketiga.
Untuk rekod, China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar sejak 2009.
Nilai perdagangan antara Malaysia dan China pada tahun 2022 mencecah 17.1 peratus daripada jumlah perdagangan global Malaysia yang bernilai RM2.8 trilion.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan China bagi tahun lalu adalah sebanyak RM487.13 bilion iaitu peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2021.
Jumlah eksport ke China pula meningkat sebanyak 9.4 peratus berjumlah RM210.62 bilion, manakala jumlah import dari China mencatatkan peningkatan sebanyak 20.7 peratus dengan jumlah RM276.50 bilion berbanding tahun sebelumnya.
Manakala, nilai pelaburan dari China bernilai RM9.6 bilion yang telah membuka peluang-peluang pekerjaan kepada 6,193 orang pada tahun 2022.