Lawatan rasmi PM Anwar buka ruang perkukuh hubungan Malaysia-Australia
Bernama
Mac 7, 2024 21:31 MYT
Mac 7, 2024 21:31 MYT
CANBERRA: Lawatan rasmi sulung Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Australia menandakan satu peristiwa penting dalam usaha mengukuhkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Lawatan itu berjaya meningkatkan peluang pelaburan untuk Malaysia dan pada masa yang sama memudahkan kemajuan merentas pelbagai sektor, termasuk dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan, sukan dan budaya.
Selain dapat mengeratkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Australia lawatan itu juga meletakkan asas untuk usaha kerjasama yang menjanjikan masa depan lebih makmur dan progresif bagi kedua-dua negara.
Bercakap kepada media Malaysia sejurus tiba di Canberra hari ini untuk lawatan sehari, Anwar yang juga Menteri Kewangan Malaysia menyatakan pendekatan yang digunakan dalam berkomunikasi dengan Kementerian Luar Australia adalah secara terus terang.
"Pendekatan ini bertujuan agar kedua-dua belah pihak memahami sejelas mungkin mengenai perbincangan yang dijalankan bagi mengerat hubungan kedua-dua negara negara," kata beliau.
Perdana Menteri turut menekankan pentingnya berbicara secara jujur mengenai persetujuan, perbezaan pendapat, dan pandangan bagi memastikan konsistensi dalam amalan demokrasi, kemanusiaan dan hak asasi manusia.
Beliau seterusnya menjelaskan lawatan rasmi ke Australia turut memberikan impak positif dalam peningkatan pelaburan, kerjasama dalam bidang sukan, pendidikan, dan penyelidikan, termasuk penelitian vaksin.
"Kerjasama dua hala yang ditingkatkan dalam pelbagai bidang ini disifatkan sebagai perkara yang sangat positif," katanya.
Menurut Anwar antara pencapaian penting lawatan itu adalah lonjakan dalam pelaburan dengan beberapa syarikat utama Australia menyatakan minat untuk melabur sejumlah RM24.5 bilion di Malaysia dan mengembangkan operasi sedia ada mereka.
Syarikat-syarikat terbabit melahirkan hasrat itu kepada beliau semasa pertemuannya dengan lebih 20 syarikat Australia di Melbourne pada Selasa.
Semasa lawatan ke Canberra, Anwar melakukan kunjungan hormat kepada Gabenor Jeneral Komanwel Australia Jeneral David Hurley, di Government House, di sini, pada petang ini.
Semasa pertemuan tersebut kedua-dua pihak berbincang mengenai usaha untuk mengukuhkan kerjasama sedia ada dan meneroka kerjasama baharu dalam bidang kepentingan bersama, termasuk kerjasama dua hala, kestabilan serantau dan perkongsian nilai.
Sebelum lawatan ke ibu kota Australia itu, Anwar mengadakan lawatan rasmi ke Melbourne, dan menyertai Mesyuarat Tahunan antara Pemimpin Malaysia-Australia Kedua (ALM) yang dihoskan oleh Australia serta Sidang Kemuncak Khas Asean-Australia.
Sidang kemuncak itu, yang diadakan dari 4-6 Mac 2024, juga sempena memperingati Ulang Tahun ke-50 Hubungan Dialog ASEAN-Australia.
Secara keseluruhan, lawatan rasmi Perdana Menteri telah meletakkan asas padu bagi kerjasama yang lebih kukuh antara Malaysia dan Australia.
Bersandarkan momentum daripada mesyuarat dan pemeteraian Memorandum Persefahaman dengan pelbagai pihak, kedua-dua negara bersedia untuk memanfaatkan peluang baharu bagi perkongsian dan kerjasama, yang bakal membawa kepada masa depan yang lebih makmur dan terjamin untuk semua.
-- BERNAMA