Lawatan Presiden Syria tanda bermula 'era persahabatan, kerjasama berkekalan' - Erdogan
Bernama
Februari 5, 2025 11:50 MYT
Februari 5, 2025 11:50 MYT
ISTANBUL/ANKARA: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Selasa menyifatkan lawatan Presiden Syria Ahmad al-Sharaa ke Ankara sebagai langkah bersejarah ke arah permulaan era persahabatan dan kerjasama berkekalan antara kedua-dua negara.
Bercakap pada sidang media bersama al-Sharaa, Erdogan menegaskan komitmen Turkiye terhadap keutuhan wilayah dan perpaduan Syria, lapor Agensi Anadolu.
Beliau mengulangi sokongan Turkiye yang tidak berbelah bahagi terhadap Syria dengan menyatakan, "Kami tidak pernah meninggalkan saudara-saudara Syria ketika waktu paling sukar dan kami akan terus menyokong mereka dalam fasa baharu ini."
"Lawatan ini mempunyai kepentingan bersejarah. Saya melihatnya sebagai permulaan era baharu persahabatan dan kerjasama yang berkekalan. Semua institusi kami bekerja tanpa henti bagi membina semula hubungan ini pada tahap strategik.
"Kami tidak ragu-ragu bahawa saudara-saudara Syria yang menjadi inspirasi kepada rantau ini dengan ketabahan mereka akan membangunkan semula negara mereka," katanya.
Erdogan turut menegaskan bahawa Turkiye bersedia membantu usaha membangunkan semula bandar-bandar Syria yang terjejas, dan pemulihan ekonomi yang lebih pantas akan menggalakkan kepulangan pelarian Syria.
Kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan usaha bersama bagi mewujudkan kestabilan keselamatan dan ekonomi.
Erdogan menekankan kemajuan dalam hubungan pelbagai dimensi termasuk perdagangan, penerbangan awam, tenaga, kesihatan dan pendidikan.
"Selain bantuan kemanusiaan, kami juga bersedia menyokong pembinaan semula infrastruktur kritikal.
"Bagaimanapun, sekatan antarabangsa terhadap Syria masih menjadi halangan utama kepada pemulihan ekonomi dan infrastruktur.
"Usaha Turkiye untuk melonggarkan sekatan ini yang pada asalnya dikenakan bagi menyasarkan rejim Assad, telah pun memberikan sedikit kelonggaran. Namun, kami akan terus berusaha untuk menghapuskan sepenuhnya sekatan ini sehingga matlamat tercapai," kata Erdogan.
Beliau turut menggesa dunia Arab dan Islam memberikan sokongan kewangan serta moral kepada pentadbiran baharu Syria dan rakyatnya, dengan menegaskan bahawa sokongan sedemikian adalah amat penting.
-- BERNAMA