Lawatan Pelosi: Tentera Laut AS kerah kapal perang ke timur Taiwan - Laporan

Agensi
Ogos 2, 2022 21:49 MYT
Pergerakan ketenteraan itu berlaku di tengah-tengah 'kemarahan' China yang semakin meningkat susulan jangkaan lawatan Pelosi ke Taiwan. - Gambar fail/ AP
EMPAT kapal perang Amerika Syarikat (AS), termasuk sebuah kapal pengangkut pesawat, telah mengambil kedudukan di perairan timur Taiwan dalam apa yang disebut Tentera Laut AS sebagai 'penempatan rutin'.
Al Jazeera melaporkan, pergerakan taktikal ketenteraan itu berlaku di tengah-tengah 'kemarahan' China yang semakin meningkat susulan jangkaan lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan.
Difahamkan, Pelosi dijangka tiba di Taipei lewat Selasa. AS juga dilaporkan berkata tidak gentar dengan amaran China terhadap lawatan Pelosi yang menjadi pegawai tertinggi AS pergi ke pulau itu sejak 1997.
Dalam pada itu, kapal pengangkut USS Ronald Reagan telah melalui di Laut China Selatan dan kini berada di Laut Filipina, timur Taiwan dan Filipina serta selatan Jepun, kata seorang pegawai Tentera Laut AS kepada Reuters pada Selasa.
BACA: Lawatan Pelosi: Pesawat pejuang China berlegar di ruang udara berhampiran sempadan Taiwan
BACA: Pesawat bawa Nancy Pelosi jadi kapal terbang paling dijejaki di seluruh dunia
Reagan yang berpangkalan di Jepun beroperasi dengan kruiser peluru berpandu, USS Antietam, dan kapal pemusnah, USS Higgins.
"Walaupun mereka mampu bertindak balas terhadap sebarang kemungkinan, ini adalah penempatan biasa dan rutin," kata pegawai itu, yang enggan namanya disiarkan.
Pegawai itu yang enggan mengulas mengenai lokasi tepat kapal perang itu, berkata kapal serangan amfibia USS Tripoli juga berada di kawasan itu.
Sementara itu,Al Jazeera juga melaporkan, Divya Gopalan, editor antarabangsa TaiwanPlus, berkata walaupun Taiwan belum mengesahkan secara rasmi lawatan Pelosi, sumber kanan kerajaan memberi taklimat kepada wartawan mengenai butiran perjalanan itu, termasuk pertemuan yang dijadualkan dengan Presiden Taiwan Tsai Ing-wen.
#Nancy Pelosi #Taiwan #kapal perang amerika syarikat #tindak balas china #China #Taipei
;