Lawatan Pelosi: Pesawat pejuang China berlegar di ruang udara berhampiran sempadan Taiwan

Agensi
Ogos 2, 2022 20:56 MYT
China menganggap tindakan Pelosi bersifat provokasi apabila dikatakan mengadakan kunjungan ke Taiwan. - Gambar fail/ Reuters
BEBERAPA pesawat pejuang China dilaporkan berlegar di ruang udara berhampiran Taiwan susulan laporan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi dan delegasinya dijangka melawat negara itu.
Reuters yang memetik sumber, melaporkan selain pesawat pejuang, beberapa kapal perang China turut dikatakan berlayar di kawasan perairan menghampiri sempadan Taiwan.
Difahamkan, beberapa kapal perang China dikatakan mengadakan pergerakan ketenteraan di sekitar kawasan selat Taiwan sebagai tindak balas terhadap Pelosi yang dianggap melakukan provokasi.
AS sebelum ini beberapa kali menyatakan pendirian tidak sesekali berasa gentar dengan ancaman ketenteraan China meskipun Pelosi menerima beberapa amaran berhubung rancangan kunjungan ke Taiwan.
Sementara itu, Kementerian Pertahanan Taiwan menerusi kenyataannya berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk melakukan sebarang tindakan ketenteraan sebagai persediaan ancaman musuh.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, pesawat Tentera Udara AS, yang membawa Pelosi menjadi kapal terbang yang paling dijejaki di dunia pada Selasa.
Berdasarkan laman web pengesan penerbangan, Flightradar24, pesawat SPAR19 dijejaki lebih 107,000 pengguna pada petang Selasa.
China sebelum ini mendakwa lawatan tersebut mencerminkan sikap AS tidak menghormati polisi One-China memandangkan Taiwan masih di bawah pemerintahannya, biarpun wilayah itu telah ditadbir secara demokrasi.
Menurut media Taiwan, pesawat yang membawa Pelosi dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Songshan sekitar jam 10.20 malam, namun tidak dapat dipastikan sama ada pesawat itu diiringi oleh pesawat tentera AS atau tidak.
#Nancy Pelosi #Taiwan #Amerika Syarikat #China #kapal perang china #Taipei
;