Lawatan Pelosi: Laman web pejabat Presiden Taiwan terjejas dipercayai akibat serangan siber

Agensi
Ogos 2, 2022 22:13 MYT
Laman web Pejabat Presiden Taiwan dipercayai jadi serangan siber. - Gambar fail/ Sinar Harian
LAMAN web Pejabat Presiden Taiwan mengalami gangguan hampir 20 minit pada Selasa, dipercayai akibat serangan siber, lapor Reuters.
Bagaimanapun laman web berkenaan kembali berfungsi seperti biasa tidak lama kemudian.
Menurut laporan media tempatan, serangan tidak hanya tertumpu kepada Pejabat Presiden malah turut menjejaskan laman web Pejabat Menteri Luar.
Kejadian itu dipercayai mempunyai kaitan dengan jangkaan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi dan delegasinya ke Taiwan.
Lawatan Pelosi ke Taiwan mencetus kontroversi apabila tindakan itu dianggap memburukkan keadaan dan mencetuskan ketegangan di antara AS dan China.
Bagaimana, AS dilapor tetap dengan pendiriannya yang menyatakan tidak gentar dengan ancaman ketenteraan oleh China.
Terdahulu, Pelosi bersama delegasinya berlepas dari Malaysia dan dipercayai menuju ke Taiwan untuk meneruskan sesi kunjungan seterusnya yang menjadi perhatian dunia.
Dalam pada itu, China dilapor turut bertindak menghantar beberapa pesawat pejuang di ruang udara menghampiri sempadan Taiwan selain turut menempatkan kapal perang di kawasan perairan itu.
Kementerian Pertahanan China dalam satu kenyataan pada Selasa menegaskan bahawa tindakan itu sebagai persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan ancaman musuh.
#Nancy Pelosi #Taiwan #China #Amerika Syarikat #serangan siber #Taipei #Pejabat Presiden
;