Lawatan Pelosi: China tambah senarai sekatan terhadap Taiwan
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 3, 2022 14:01 MYT
Ogos 3, 2022 14:01 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak senang dengan kunjungan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan, China pada Rabu mengumumkan tambahan sekatan ke atas republik itu.
Memetik laporan CGTN, sekatan terkini yang diumumkan Kementerian Perdagangan China itu melibatkan eksport pasir ke pulau itu.
Pada Selasa, sekatan ekonomi dan import oleh China itu turut dikenakan terhadap syarikat Taiwan yang menghasilkan pastri, barangan membuat kek dan manisan, menurut Majlis Pertanian Taiwan (COA) yang mengesahkan perkara tersebut.
Antara produk yang terlibat adalah daun teh, buah kering, madu, biji koko, sayur-sauran selain hasil laut daripada lebih 700 bot nelayan, lapor agensi itu.
Data dikeluarkan Pentadbiran Awam Kastam China memaklumkan 107 jenama berdaftar di Taiwan dalam kategori biskut, pastri dan mi, melibatkan 35 syarikat kini dilabel sebagai 'penggantungan import sementara'.
Kementerian Luar China pada pagi Rabu waktu tempatan (Selasa malam waktu GMT), memanggil duta AS ke Beijing, Nicholas Burns, berhubung lawatan Pelosi.
Timbalan Menteri Luar, China Xie Feng memberitahu Burns bahawa "China akan mengambil tindakan balas yang perlu dan tegas, dan kami serius mengenainya," menurut laporan Global Times.
Meskipun terdapat beberapa amaran, termasuk tindakan ketenteraan, Pelosi meneruskan lawatannya ke Taiwan selepas mengadakan kunjungan rasmi ke Malaysia pada Selasa.
Pelosi disambut oleh Menteri Luar Taiwan Joseph Wu sejurus mendarat di Lapangan Terbang Taipei Songshan kira-kira 10.44 malam waktu tempatan (1444GMT).