Lawatan Najib ke Gaza lakar sejarah

Astro Awani
Januari 22, 2013 07:15 MYT
Lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ke Gaza memperbaharui komitmen Malaysia menyokong perjuangan Palestin.
Ia melakar sejarah memandangkan Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia yang pertama mengunjungi wilayah berkenaan.
Dalam lawatannya Najib melawat projek sekolah inisiatif Malaysia.
Ia kemudian disusuli dengan peletakkan batu asas bagi membina semula pejabat baru Perdana Menteri Gaza Ismail Haniyeh yang musnah akibat serangan rejim Israel November lalu.
Najib juga melawat universiti Al-Aqsa dan memberikan ucapan mengenai pendirian Malaysia berhubung Palestin sebelum menerima Ijazah Doktor Kehormat.
Kunjungan Najib ke Gaza disifatkan satu detik bersejarah buat rakyat Malaysia dan juga negara.
Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (Just), Dr Chandra Muzaffar melihat lawatan ini juga membuktikan semangat setia kawan Malaysia terhadap perjuangan Palestin dalam usaha membebaskan rakyatnya daripada ditindas Zionis.
Chandra pada masa sama menganggap kunjugan ini juga kemuncak kepada kerjasama dan bantuan yang dihulurkan kepada Palestin.
Beliau berharap Malaysia akan terus menjalin kerjasama dengan pihak lain yang komited dengan perjuangan Palestin untuk berusaha mendamaikan Hamas dan Fatah demi kemakmuran Palestin.
Selain itu katanya, lawatan ini juga dilihat sebagai platform mempertingkatkan hubungan sedia ada antara Malaysia, Fatah dan Hamas untuk membantu Palestin berdepan Israel.
#Datuk Seri Najib Razak #Dr Chandra Muzaffar #Gaza #Malaysia #Perdana Menteri
;