Lawatan kerja: Xi Jinping bawa suara baharu kepada Global Selatan - PM

Hasimi Muhamad
November 7, 2024 22:14 MYT
Anwar (kiri) melakukan kunjungan hormat ke atas Xi Jinping hari ini sempena lawatan kerjanya ke China - Foto/PMO/SADIQ ASYRAF
SHANGHAI: Presiden China Xi Jinping telah membawa "suara baharu" kepada Global Selatan dan masyarakat antarabangsa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam ucapan pembukaannya semasa kunjungan hormat ke atas Xi, Perdana Menteri memuji visi pemimpin itu untuk keselamatan dan pembangunan global, dengan menyatakan bahawa ia merangkumi nilai dan tamadun.
“Saya telah membuat keputusan itu, dengan komitmen teguh daripada kerajaan, untuk mengukuhkan kerjasama dan persahabatan.
“Saya mengikuti ucapan anda di BRICS dengan teliti, dan saya berterima kasih atas sokongan anda untuk rakan kongsi. Tetapi apa yang lebih penting ialah visi anda untuk keselamatan dan pembangunan global.
“Saya sentiasa menekankan peranan unik yang anda mainkan dalam membincangkan nilai dan tamadun, yang tidak pernah dilakukan oleh pemimpin terkemuka lain.
“Saya percaya ini menunjukkan semangat anda untuk rakyat, orang miskin dan kemanusiaan. Itulah sebabnya kami melihat anda bukan sahaja sebagai pemimpin China tetapi sebagai suara baharu untuk Global Selatan dan antarabangsa,” katanya ketika kunjungan hormat tersebut di The Great Hall of People di Beijing pada Khamis.
Turut sama hadir adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Perdana Menteri menambah Xi telah menyokong usaha Malaysia untuk memajukan sektor digital, tenaga dan latihan, selain menyifatkan China melakukan dengan sangat baik dalam menerima Kuala Lumpur sebagai rakan kongsi.
Dalam masa sama, Anwar menekankan bahawa kehadiran Xi dalam Sidang Kemuncak ASEAN pada tahun depan disifatkan sebagai penting untuk memastikan kejayaan ASEAN.
"... dan kini kita mempunyai kerjasama ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China. Banyak persoalan dibangkitkan, tetapi saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa saya telah berjaya mendapatkan persetujuan daripada rakan-rakan ASEAN dengan konsensus penuh kesemua 10 negara.
"Kami, sudah tentu, mengharapkan kehadiran anda kerana ia akan menjadi penting kepada kejayaan ASEAN," ujar Perdana Menteri.
Dalam kunjungan hormat tersebut, Xi turut menganjurkan majlis makan malam kepada Anwar dan delegasi Malaysia.
Perdana Menteri mengakhiri lawatan kerja ke China hari ini selepas mengunjungi Shanghai dan Beijing bermula 4 hingga 7 November.
Lawatan kerja tersebut adalah atas jemputan rakan sejawatnya, Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China ketujuh (CIIE ke-7) di Shanghai.
#Anwar Ibrahim #Xi Jinping #BRICS #ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk GCC -China
;