Lawatan kerja PM Anwar ke Turkiye dan Mesir bincang isu Palestin - Wisma Putra
Fareez Azman
Oktober 21, 2023 00:11 MYT
Oktober 21, 2023 00:11 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Republik Turkiye pada 21 hingga 22 Oktober diikuti lawatan ke Republik Arab Mesir pada 22 hingga 23 Oktober ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan media Wisma Putra pada Sabtu.
"Semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri akan diiringi oleh Datuk Seri Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan.
"Semasa di Türkiye, Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Republik Türkiye.
"Agenda utama adalah membincangkan usaha bersama antara Malaysia dan Türkiye bagi menyumbang ke arah penyelesaian krisis Palestin-Israel yang semakin meruncing," jelas kenyataan itu.
Menurut Wisma Putra, lawatan sulung Perdana Menteri ke Mesir itu, Anwar dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Arab Mesir Abdul Fattah al-Sisi bagi membincangkan perkara berkaitan konflik Palestin-Israel.
Ia sebagai mencapai usaha kedua negara bagi menghentikan segera pertempuran dan pembukaan koridor kemanusiaan untuk penyaluran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza melalui sempadan Rafah-Gaza.
"Perdana Menteri juga akan mengadakan kunjungan ke atas Sahibus Samahah Prof. Dr. Sheikh Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb, Imam Besar Al-Azhar.
"Kedua-dua lawatan kerja tersebut mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi mengenai isu Palestin khususnya bagi meringankan penderitaan dan kesengsaraan dialami rakyat Palestin akibat krisis di Semenanjung Gaza yang masih berterusan," jelas Wisma Putra lagi.