Lawatan kerja dibatal, lelaki British hampir jadi mangsa nahas pesawat EgyptAir

Kohilah Sekaran
Mei 21, 2016 19:07 MYT
Ian Phillips dari Peterborough, England bernasib baik kerana masih hidup selepas lawatan kerja ke Kaherah, Khamis lalu dibatalkan pada saat terakhir.
'Semuanya ditakdirkan Tuhan'.
Itulah yang dapat dikaitkan dengan kisah seorang lelaki British yang bersyukur selepas lawatan kerja ke Kaherah, pada Khamis lalu dibatalkan pada saat akhir.
Bapa kepada dua anak itu sepatutnya menaiki penerbangan EgyptAir MS804 yang hilang pada Khamis lalu di Laut Mediterranean bersama 66 orang penumpang dan anak kapal di dalamnya.
Bagaimanapun, lawatan kerja yang dirancang itu dibatalkan hanya beberapa jam sebelum dia bersedia menaiki pesawat itu.
"Saya sedang memandu (kembali ke Peterborough) ketika mendapat panggilan daripada bos saya yang mengatakan ia dibatalkan. Jika mereka telah mengesahkan tempahan, saya akan menaiki pesawat itu.
“Ia tidak terlintas dalam fikiran saya betapa bertuahnya saya sehingga petang semalam," kata Phillips seperti dipetik dari portal Newsweek.
"Saya amat bersyukur kerana saya masih berada di sini.
“Ia mengambil masa beberapa jam untuk menyedari betapa seriusnya insiden itu,” tambah Phillips.
Lelaki berusia 48 tahun itu, bekerja di sebuah syarikat penghantaran kurier yang memerlukan dia untuk menyerahkan dokumen sensitif ke seluruh dunia.
Menurut Phillips, dia sepatutnya menaiki penerbangan dari lapangan terbang London City ke lapangan terbang Charles De Gaulle di Paris sebelum menaiki penerbangan sambungan ke Kaherah.
Tambah Phillips, dia hanya mengetahui insiden tersebut selepas dia tiba di pejabat, London Office of CMS Network.
Terkejut dengan berita itu, Phillips kemudian berkongsi kisahnya kepada netizen menerusi laman Facebooknya.
Namun, Phillips juga melahirkan sedih mengenang nasib kesemua penumpang dan anak kapal yang berada di pesawat MS804.
Pesawat EgyptAir sedang membawa 66 penumpang dan anak kapal ketika dalam perjalanan dari Paris ke Kaherah hilang dari radar pada Khamis.
Laporan mengatakan ia menjunam dan berpusing secara tiba-tiba pada ketinggian 22,000 kaki di Laut Mediterranean.
BACA: EgyptAir MS804: Bahagian mayat, tempat duduk dan beg penumpang ditemui - Menteri Greece
BACA: EgyptAir MS804: Amaran asap dalam kabin sebelum terhempas - Agensi
#EgyptAir #Kini Trending #MS804 #penumpang #terjunam
;