Lawatan ke Vietnam, Biden akan bincang peluang usaha sama dalam teknologi tinggi

Bernama
Ogos 29, 2023 12:47 MYT
Biden akan tiba di Vietnam pada 10 Sept dalam perjalanan pulang daripada Sidang Kemuncak G20 di India. - Gambar fail/REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan melawat Vietnam minggu depan untuk bertemu dengan pegawai tertinggi negara itu, termasuk Setiausaha Agung Nguyen Phu Trong, dalam usaha untuk mengeratkan kerjasama, kata Rumah Putih pada Isnin.
Beliau akan tiba di Vietnam pada 10 Sept dalam perjalanan pulang daripada Sidang Kemuncak G20 di India, lapor United Press International (UPI).
Biden akan berada di New Delhi pada 7 Sept, dua hari sebelum sidang kemuncak yang ditetapkan pada 9 dan 10 Sept.
Di Hanoi, Biden dan ketua Parti Komunis Vietnam, Trong akan meneroka peluang untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi Vietnam yang bertumpukan teknologi dan didorong inovasi, serta meningkatkan keamanan, kemakmuran dan kestabilan di rantau ini, kata setiausaha akhbar Rumah Putih Karine Jean-Pierre dalam satu kenyataan.
Ketika hubungan AS-China yang semakin tegang dengan China, kedua-dua pemimpin itu akan berusaha untuk menjalin hubungan yang lebih erat melalui pertukaran pendidikan dan program pembangunan tenaga kerja serta menangani perubahan iklim, katanya.
Hubungan antara Vietnam dan AS semakin berkembang sejak bekas musuh Perang Dingin itu menjalin semula hubungan diplomatik pada tahun 1995 dan kini meliputi hubungan rasmi dalam bidang ekonomi, politik dan keselamatan.
Lawatan Biden itu juga memungkinkan kedua-dua pihak menandatangani perjanjian perkongsian strategik baharu dalam teknologi tinggi, termasuk pengeluaran semikonduktor dan kercedasan buatan, lapor Politico bulan ini.
Biden adalah pemimpin keempat AS yang melawat Vietnam, empat bulan selepas Setiausaha Negara Antony Blinken bertemu dengan Trong dan pegawai tertinggi Vietnam dalam usaha menjadikan "rantau Indo-Pasifik yang bebas, terbuka, berhubung, makmur, selamat dan berdaya tahan, aman dan menghormati undang-undang antarabangsa."
Pertemuan Blinken bertepatan dengan ulang tahun ke-10 Perkongsian Komprehensif AS-Vietnam yang dilancarkan oleh Presiden Barack Obama pada 2013.
-- BERNAMA
#Presiden Amerika Syarikat #Joe Biden #lawat Vietnam #pelaburan teknologi tinggi
;