Lawatan Duterte buka lembaran baharu isu Mindanao, Sabah

Bernama
November 8, 2016 14:35 MYT
Lawatan Duterte (gambar) ke Malaysia minggu ini diharap dapat membuka lembaran baharu terhadap usaha Malaysia menyelesaikan masalah kebanjiran rakyat Filipina di Sabah. -Gambar fail
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata lawatan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte ke Malaysia minggu ini akan membuka lembaran baharu terhadap usaha Malaysia untuk terus membantu dalam penyelesaian masalah di Mindanao serta masalah kebanjiran rakyat Filipina di Sabah dan isu-isu keselamatan yang berkaitan.
Peranan Malaysia sebagai pihak ketiga dalam mencari penyelesaian terhadap masalah di kawasan Selatan Filipina, khususnya di Mindanao itu penting katanya kerana apa yang diusahakan oleh fasilitator Malaysia, Allahyarham Tengku Datuk Abdul Ghafar Tengku Mohamed telah diterima oleh kepimpinan Filipina yang lalu namun ia belum dapat dilaksanakan secara konklusif.
"Jadi lawatan Presiden Duterte ke Malaysia dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Khamis ini akan merupakan suatu usaha yang dibuat bagi menentukan bahawa Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro atau BTC akan dapat dilaksanakan," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.
Ahmad Zahid yang sedang dalam rangka lawatan kerja selama lima hari ke United Kingdom mulai Isnin, berkata Malaysia yang diwakili oleh Najib dan beliau sendiri yang pada ketika itu selaku Menteri Pertahanan, telah menyaksikan penandatanganan Rang Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL).
"Dalam lawatan kali ini, kita melihat prospek amat cerah bagi Malaysia terus memainkan peranan ini dan kita merasakan tentunya pihak Filipina di bawah kepimpinan baru ini akan lebih terbuka untuk melibatkan juga beberapa pihak lain di Filipina," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berharap perjanjian yang telah ditandatangani bersama-sama oleh kerajaan Filipina dengan Haji Murad Ebrahim selaku Pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) itu, pada kali ini akan melibatkan beberapa pihak lain termasuk kumpulan minoriti di selatan Filipina bagi menyelesaikan masalah kebanjiran rakyat Filipina tidak berdokumen, yang berada di Sabah.
"Secara tidak langsung ini akan dapat menyelesaikan permasalahan yang dicadangkan di dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)," katanya.
Ahmad Zahid berkata dari segi pelaksanaan syor itu, sebuah jawatankuasa induk yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan beliau sendiri serta jawatankuasa pelaksanaan diterajui oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, akan dapat menyelesaikan tugas-tugas yang di cadangkan oleh RCI.
"Saya yakin lawatan ini akan menyelesaikan beberapa permasalahan yang selama ini tidak dapat diselesaikan, di samping masalah keselamatan di sekitar Esszone (Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah) yang berada sekitar 1,700 km panjangnya pantai yang menjadi tanggungjawab kepada Esscom (Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah), terutamanya kes-kes penculikan untuk wang tebusan yang berlaku di situ.
"Tentunya dalam lawatan ini beberapa persoalan diplomatik yang melibatkan Sabah khususnya akan dapat dibincangkan dan saya melihat Presiden Duterte mempunyai pandangan yang amat proaktif bagi mencari beberapa jalan penyelesaian permasalahan yang telah berlaku begitu lama antara Malaysia dan Filipina," katanya.
Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia berpandangan bahawa kemakmuran di kawasan selatan Filipina itu boleh menyelesaikan permasalahan yang menjadi isu politik dan isu sosio-ekonomi di kawasan berkenaan dan di Sabah. -- BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi #presiden filipina #rakyat Filipina di Sabah #Rodrigo Duterte
;