Lawatan Anwar ke Bangkok dijangka majukan lagi kerjasama dua hala

Bernama
Februari 6, 2023 21:50 MYT
Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan Anwar akan mengadakan mesyuarat dua hala di Government House pada Khamis. - Gambar fail
BANGKOK: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Bangkok, Thailand pada Khamis ini dijangka akan memajukan lagi hubungan antara kedua-dua negara serta membantu mencapai matlamat perdagangan dua hala sebanyak US$30 bilion (RM126 bilion) pada 2025.
Timbalan setiausaha agung kepada Perdana Menteri Thailand yang juga pemangku jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri, dalam satu kenyataan berkata Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan Anwar akan mengadakan mesyuarat dua hala di Government House pada Khamis.
Beliau berkata kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama dalam mempromosikan dan integrasi pembangunan ekonomi di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia, khususnya membabitkan lima wilayah selatan Thailand (Yala, Narathiwat, Pattani, Songkhla dan Satun) dan empat negeri di Utara Malaysia (Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak).
"Ini termasuk kesalinghubungan dalam perdagangan, pelaburan dan infrastruktur untuk mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$30 bilion (RM126 bilion) menjelang 2025 melalui mekanisme dua hala sedia ada, kemudahan perdagangan dan promosi kerjasama dalam industri berpotensi seperti getah, makanan halal dan tenaga serta bidang baharu seperti ekonomi digital dan teknologi lestari," katanya.
Anucha berkata kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa untuk bersama-sama menangani cabaran baharu dan merangsang pemulihan ekonomi pasca- COVID-19.
Ini merupakan lawatan rasmi antarabangsa keempat Anwar selepas Indonesia, Brunei dan Singapura sejak beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov tahun lepas.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #Bangkok #lawatan kerja #Thailand
;