Laura Melissa dari London mangsa salah faham calon peperiksaan SPM
Nailah Huda
November 13, 2019 13:17 MYT
November 13, 2019 13:17 MYT
GARA-GARA kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 2 bagi Sijil Pertengahan Malaysia (SPM) 2019, akaun media sosial Laura Melissa Williams dari London dibanjiri dengan ribuan komen oleh anak muda Malaysia.
Salah satu soalan pada kertas tersebut yang menampilkan ‘Melissa’ dan aktiviti luncur udara mendapat perhatian kerana didakwa mencabar akal calon SPM.
Secara kebetulan, Laura pernah berkongsi gambarnya selepas berluncur di Perancis pada 2 Julai lalu menerusi akaun Instagram peribadinya.
Salah seorang calon SPM yang 'terjumpa' posting tersebut menyebarkannya secara berleluasa, sekali gus menciptakan tanda pagar “The Real Melissa”.
“Pada awalnya, saya rasa perkara itu kelakar,” kata Laura kepada agensi berita BBC.
Bagaimanapun, Melissa mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila terdapat beberapa komen negatif yang ditinggalkan netizen (dari Malaysia) yang mekluahkan rasa tidak puas hati dengan soalan berkenaan.
Soalan SPM yang ditanya adalah mengenai ‘Melissa’ yang terlanggar awan ketika sedang melakukan aktviti paragliding yang digambarkan seperti “dilambung dalam mesin basuh” sehingga perlu diselamatkan dari atap oleh penduduk kampung.
“Saya mula rasa bimbang sehingga saya semak beberapa komen dengan rakan saya yang berbahasa Melayu kerana risau terdapat sebarang ancaman.
“Bagaimanapun, mereka kata itu hanyalah jenaka yang bersifat kebudak-budakan dan tidak matang,” kata Laura yang bekerja sebagai seorang artis.
Entri Instagram Laura menjadi tular dan menerima lebih daripada 23,000 like.
Susulan itu, Laura pada Sabtu lalu berkongsi sekeping gambar terbaharunya berserta kapsyen meminta agar komen-komen negatif dihentikan kerana ia boleh memberi impak kepada kesihatan mental.
Tanda pagar “The Real Melissa” yang dahulu menular kemudiannya bertukar menjadi kempen “Stop cyber-bullying Melissa” atau “Henti buli siber Melissa”.
“Apabila saya bangun, saya terima ribuan mesej daripada pelajar dari Malaysia - semuanya meminta maaf. Ada juga yang mengaku rasa menyesal kerana telah meninggalkan komen buruk,” kata Laura.
Sementara itu, Laura telah terima lebih 210,000 mesej di Instagram, 30,000 ciapan di Twitter dan 5,000 pengikut baharu.
“Itu yang paling menakjubkan tentang peristiwa ini - bagaimana reaksi orang ramai terus bertukar,” kata Laura lagi.
Laura juga dalam masa sama menerima pelbagai undangan untuk melawat Malaysia selain tawaran diberikan hadiah selain permohonan maaf daripada guru sekolah.
Seorang para-peluncur turut menghubungi Laura untuk menjemputnya melakukan aktiviti luncur udara bersama.
Artis itu kini yakin dengan sokongan positif dan sedang mempertimbangkan mengadakan satu pameran seni berdasarkan peristiwa itu.