Latihan pesawat pengebom: Vietnam gesa China hormati kedaulatan di pulau-pulau pertikaian
Agensi
Mei 22, 2018 21:19 MYT
Mei 22, 2018 21:19 MYT
Vietnam mengutuk pendaratan pesawat pengebom H-6K bombers milik China di Laut China Selatan sejak tiga hari lalu.
Jurucakap kementerian luar negeri Vietnam, Le Thi Thu Hang berkata tindakan China itu jelas "meningkatkan ketegangan" dan menyebabkan ketidakstabilan serantau.
Justeru Hang berkata Vietnam menuntut agar China menghentikan aktiviti ketenteraan dan menghormati kedaulatan Vietnam di atas Kepulauan Hoang Sa.
Pulau Hoang Sa menjadi antara pulau yang dituntut oleh Vietnam.
Walau bagaimanapun, China menolak kritikan Vietnam tersebut terhadap keberadaan pesawat pengebomnya.
"Pulau-pulau Laut China Selatan adalah wilayah China," jelas jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Lu Lu.
Pada hari yang sama, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) berkata mereka turut "memantau perkembangan dengan teliti" di Laut China Selatan, tetapi tidak secara umum mengutuk tindakan China itu.
Sabtu lalu pesawat pengebom H-6K milik Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) melakukan latihan ketenteraan dan mendarat di pulau-pulau dan terumbu di Laut China Selatan.
Tentera Udara PLA juga melibatkan pesawat Su-35, J-20 dan beberapa pesawat lain dalam latihan sebelumnya untuk meningkatkan keupayaannya untuk menjaga kedaulatan dan keutuhan wilayah republik itu.