Latihan maritim perkukuh keputusan ASEAN dalam keselamatan serantau
Bernama
November 19, 2019 08:30 MYT
November 19, 2019 08:30 MYT
Latihan Maritim yang dijalankan oleh negara-negara anggota ASEAN dengan China dan Amerika Syarikat (AS) mencerminkan kerjasama praktikal ke arah memperkukuhkan kepusatan ASEAN dalam keselamatan serantau.
Dalam satu kenyataan bersama, Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) Plus berkata Latihan Maritim ASEAN-China yang dijalankan pada 2018 dan Latihan Maritim ASEAN-Amerika Syarikat yang dijalankan tahun ini juga meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama di kalangan negara anggota.
ASEAN Plus adalah 10 negara anggota ASEAN serta lapan negara rakan dialog - Australia, China, India, Jepun, Korea, New Zealand, Rusia dan Amerika Syarikat.
Dalam satu kenyataan bersama, kesemua menteri-menteri pertahanan ASEAN Plus mengambil maklum bahawa bahawa ancaman dan cabaran keselamatan di Asia Pasifik adalah bersifat rentas sempadan dan meningkat dari segi kekerapan dan keseriusan.
Menurut kenyataan tersebut, peningkatan integrasi serantau dan kesalinghubungan serta kemajuan teknologi memberi impak kepada ancaman keselamatan bukan tradisional dan meningkatkan kerumitan dan ketidakpastian.
"Ini memerlukan negara-negara di rantau ini untuk menjalin kerjasama yang praktikal untuk mencari cara yang mampan untuk mencegah dan menangani ancaman keselamatan bersama," katanya.
Kenyataan itu berkata semua negara anggota ADMM Plus tetap komited untuk memastikan keamanan dan kestabilan di rantau Asia Pasifik dengan memperkukuhkan kerjasama pertahanan dan keselamatan.
Ia berkata ADMM Plus merupakan komponen utama peraturan keselamatan serantau yang mantap, berkesan dan terbuka yang menyumbang kepada membina kepercayaan dan keyakinan serta kerjasama pertahanan dan keselamatan yang praktikal.
"Kami mengukuhkan komitmen kami untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan rantau Asia Pasifik dengan bekerjasama rapat untuk menangani cabaran keselamatan bersama seperti yang dinyatakan dalam Penyataan Bersama oleh Menteri-Menteri Pertahanan ADMM-Plus mengenai Langkah-langkah Membina Keyakinan Pratikal yang dikeluarkan pada 20 Oktober 2018, " kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama juga menarik perhatian tentang kemajuan kerjasama praktikal di bawah Kumpulan Kerja Pakar-Pakar (EWG) ADMM Plus, iaitu Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana, Keselamatan Maritim, Perubatan Tentera, Counter Terrorism, Operasi Pengaman, Tindakan Minda Kemanusiaan dan Keselamatan Siber.
Dialog dan latihan dalam rangka EWG ADMM-Plus telah menyumbang kepada membina kapasiti dan peningkatan interoperabili antara negara-negara ADMM-Plus untuk menangani cabaran keselamatan demi kepentingan kolektif rantau ini.
Sementara itu, kenyataan bersama mengakui bahawa pematuhan kepada undang-undang antarabangsa menggalakkan interaksi tentera yang selamat dan profesional, menghalang konflik bersenjata dan menyediakan mekanisme bagi menyelesaikan pertikaian secara aman.
"Kami mengalu-alukan inisiatif ADMM yang menggerakkan kerjasama praktikal di kalangan negara anggota ASEAN untuk secara kolektif mengelakkan salah tanggapan dan bertindak balas terhadap ancaman keselamatan serantau, " katanya.
-- BERNAMA