Lari sampai panjat bumbung kerana takut berkhatan

Agensi
Julai 12, 2019 09:25 MYT
Selepas dua jam menunggu, Dr Anik memberitahu mereka terpaksa menghubungi seorang guru yang rapat dengan budak lelaki itu untuk memujuknya. - Foto Anik Sutari Facebook
PENGALAMAN bersunat atau berkhatan merupakan antara “mimpi ngeri” bagi setiap kanak-kanak lelaki, dan pastinya macam-macam peristiwa lucu akan berlaku ketika upacara wajib bagi kanak-kanak Islam itu.
Senyum, risau dan menangis, itulah antara kerenah kanak-kanak ketika dikhatankan.
Namun, lain pula insiden yang berlaku kepada seorang kanak-kanak lelaki ini apabila dia bertindak memanjat bumbung sebuah klinik gara-gara terlalu takut untuk berkhatan.
Dalam kejadian di sebuah klinik di wilayah Banten, pulau Jawa Indonesia, budak lelaki berusia lima tahun itu dilaporkan melarikan diri dari klinik sebelum bergegas memanjat bumbung bangunan.
Difahamkan, dia “mencari kekuatan” selama dua jam di atas bumbung klinik tersebut dan enggan turun walaupun cubaan memujuk telah dibuat.
Seorang doktor yang merupakan pemilik klinik tersebut kemudian memuat naik gambar kanak-kanak itu di laman Facebooknya sebelum ia menarik perhatian ramai netizen.
Menurut Dr Anik Sutari, ia merupakan pengalaman pertama dia melihat insiden tersebut sepanjang bergelar doktor.
“Sepanjang kerjaya saya selama 20 tahun melakukan khatan ke atas ribuan kanak-kanak, ini merupakan peristiwa pertama saya melihat seorang kanak-kanak memanjat bumbung.
“Semua orang berusaha memujuk (budak lelaki itu) tetapi tidak berani memanjat ke bumbung kerana bimbang kanak-kanak itu lari dan membahayakan keselamatannya,” demikian tulis Dr Anik dalam kemaskini tersebut.
Selepas dua jam menunggu, Dr Anik memberitahu mereka terpaksa menghubungi seorang guru yang rapat dengan budak lelaki itu untuk memujuknya.
“Memang benar, sebaik sahaja guru itu datang, dan dengan sedikit pujukan akhirnya kanak-kanak itu akur dan turun dari bumbung,” tambahnya.
Mengejutkan, sebaik turun dari bumbung, budak lelaki itu dengan rela hati masuk semula ke klinik untuk berkhatan. Malah, dia tidak meronta atau menangis ketika proses tersebut.
Proses berkhatan budak itu selesai tiga jam dari waktu yang dijadualkan. - Sumber Agensi
#Banten Pulau Jawa Indonesia #Indonesia #Insiden lucu #Islam #Kanak-kanak #Kanak-kanak lari sunat #Khatan #Panjat bumbung #Zaman kanak-kanak
;