Larangan TikTok di Montana: Pengguna fail saman, dakwa cabul hak kebebasan bersuara
Astro Awani
Mei 19, 2023 08:45 MYT
Mei 19, 2023 08:45 MYT
SEJUMLAH lima pengguna TikTok memfailkan saman terhadap larangan penggunaan aplikasi tersebut di
Montana, Amerika Syarikat (AS).
Saman difailkan pada Rabu di Mahkamah Persekutuan Missoula dengan penghujahan menyatakan larangan tersebut melanggar hak kebebasan bersuara.
Mereka turut menyatakan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa terhadap undang-undang keselamatan negara.
Saman tersebut difailkan selepas Gabenor Greg Gianforte menandatangani rang undang-undang larangan penggunaan TikTok yang akan berkuat kuasa pada Januari 2024.
Ia dikatakan bagi melindungi data dan maklumat peribadi penduduk Montana daripada diakses China.
Memetik laporan antarabangsa, jurucakap Jabatan Kehakiman Montana, Emily Flower, pihaknya menjangkakan cabaran undang-undang.
Namun pihaknya bersedia untuk mempertahankan undang-undang.
Susulan kenyataan Greg, TikTok yang dimiliki syarikat China, Bytedance dalam satu kenyataan berkata, pihaknya akan mempertahankan hak pengguna dari dalam dan luar negeri Montana.
Tambahnya, larangan itu melanggar hak pindaan pertama perlembagaan AS bagi rakyat Montana.