Larangan import produk petroleum Rusia ke EU berkuat kuasa Ahad

Bernama
Februari 5, 2023 14:44 MYT
Lartangan import ke EU itu bertujuan untuk mengehadkan pendapatan Rusia dari membiayai operasi ketenteraannya ke atas Ukraine. - Gambar fail
BRUSSELS: Larangan mengimport produk petroleum Rusia seperti diesel atau petrol ke Kesatuan Eropah (EU) dikuat kuasa pada Ahad.
Langkah itu bertujuan untuk mengehadkan pendapatan Rusia dari membiayai operasi ketenteraannya ke atas Ukraine, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Menurut angka terbaharu dari agensi statistik EU Eurostat, Rusia mengeksport produk petroleum bernilai lebih EUR2.3 bilion (AS$2.5 bilion) ke EU pada Oktober.
Langkah itu diputuskan pada Jun sebagai sebahagian daripada pakej sekatan keenam EU ke atas Rusia susulan pencerobohannya ke atas Ukraine, tetapi mungkin mengecualikan sekatan untuk beberapa negara EU buat sementara waktu.
Sebagai tambahan kepada sekatan itu, EU dan negara G7 iaitu Jepun, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat bersetuju untuk hanya membenarkan perkhidmatan yang memudahkan eksport kepada negara ketiga jika produk petroleum Rusia dijual di bawah paras harga tertentu.
-- BERNAMA
#petroleum #Rusia #import #Kesatuan Eropah #Ukraine
;