Larangan burqa: Switzerland setuju larang tutup wajah
Astro Awani
Mac 8, 2021 08:24 MYT
Mac 8, 2021 08:24 MYT
CADANGAN untuk melarang penutupan wajah seperti pemakaian burqa dan niqab di Switzerland memperoleh kemenangan tipis dalam undi pungutan suara pada Ahad.
Keputusan rasmi sementara referendum itu menunjukkan, cadangan untuk meminda perlembagaan Switzerland diluluskan dengan margin 51.2 berbalas 48.8.
Cadangan di bawah sistem demokrasi Switzerland itu tidak menyebut Islam secara langsung dan juga bertujuan menghentikan penunjuk perasaan jalanan yang ganas daripada memakai topeng.
Namun, pemimpin politik, media dan penyokong kempen menyebutnya sebagai larangan pemakaian burqa.
Pihak berkuasa negara itu mempunyai tempoh masa dua tahun untuk menyusun perundangan berkaitan secara terperinci.
"Di Switzerland, tradisi kita adalah, tunjukkan wajah. Ia tanda kebebasan asasi kita," kata pengerusi referendum dan Ahli Parlimen Parti Rakyat Switzerland, Walter Wobmann.
Malah, dakwanya, penutupan muka adalah simbol kepada Islam yang ekstrem dan berunsur politik, yang semakin meningkat di Eropah dan tiada tempat di Switzerland.
Kumpulan Muslim mengecam kenyataan itu dan mengatakan mereka akan mencabarnya.
Majlis Pusat Muslim di Switzerland berkata, keputusan ini membuka luka lama dan meningkatkan ketidaksamarataan, malah menghantar isyarat jelas minoriti Muslim dipinggirkan.
Majlis itu akan mencabar keputusan itu melalui tindakan undang-undang dan mengumpul dana untuk wanita yang didenda.
Sementara itu, Persekutuan Organisasi Islam di Switzerland berkata, menetapkan kod berpakaian dalam perlembagaan bukan satu perjuangan pembebasan bagi wanita, tetapi langkah terkebelakang.
Perancis melarang pemakaian niqab di khalayak ramai pada tahun 2011.
Manakala di Denmark, Austria, Belanda dan Bulgaria, ada yang melarang sepenuhnya, ada yang sebahagian, pemakaian niqab di khalayak ramai.
Umat Islam merangkumi 5 peratus daripada penduduk Switzerland yang berjumlah 8.6 juta orang, kebanyakannya berasal dari Turki, Bosnia dan Kosovo.
Kerajaan telah mendesak orang ramai untuk memilih menentang larangan tersebut.
#Switzerland
#undang-undang
#Penunjuk perasaan
#politik
#Parlimen
#wanita
#kerajaan
#Turki
#Islam
#Walter Wobmann
#demokrasi
#topeng
#burqa
#kod pakaian
#niqab