Laporan Pemerdagangan Manusia AS: Thailand naik Tahap Dua

Bernama
Julai 20, 2022 22:28 MYT
Kedudukan Thailand dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) Amerika Syarikat (AS) tahun ini telah dinaikkan ke Tahap Dua berbanding Tahap Dua "Watch List" sebelum ini. - Gambar hiasan/UNSPLASH
BANGKOK: Kedudukan Thailand dalam Laporan Tahunan Pemerdagangan Manusia (TIP) Amerika Syarikat (AS) tahun ini telah dinaikkan ke Tahap Dua berbanding Tahap Dua "Watch List" sebelum ini.
Laporan TIP 2022, yang dikeluarkan Jabatan Negara AS, mendapati kerajaan Thailand menunjukkan usaha yang signifikan dalam membanteras pemerdagangan manusia meskipun tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum.
"Secara keseluruhan, Thailand mempamerkan kesungguhan dan berusaha membendung kes pemerdagangan, dengan mengambil kira kesan pandemik COVID-19 terhadap kemampuan anti pemerdagangan manusia, oleh itu, Thailand dinaikkan ke Tahap Dua.
"Bilangan pendakwaan dan sabitan menurun berbanding tempoh sebelum ini," menurut laporan itu.
Di bawah laporan TIP, jabatan itu meletakkan setiap negara pada tahap satu daripada empat tahap peringkat, seperti termaktub dalam Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan 2000 (TVPA).
Ketetapan ini dinilai menerusi usaha kerajaan dalam memenuhi piawaian minimum TVPA bagi menghapuskan pemerdagangan manusia yang konsisten dengan Protokol Palermo.
Sementara itu, Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha berkata Thailand akan meneruskan usaha dan bekerjasama dengan pelbagai sektor dalam memerangi pemerdagangan manusia.
-- BERNAMA
#Laporan Pemerdagangan Manusia #tip #Amerika Syarikat #AS #Thailand #watch list #Tahap Dua #Jabatan Negara AS
;