Laporan kematian, tentera Itali hentikan pemberian vaksin
Associated Press
Mac 12, 2021 22:40 MYT
Mac 12, 2021 22:40 MYT
COSENZA: Pemberian vaksin di sebuah pusat vaksinasi ketenteraan di Cosenza, Itali dihentikan serta-merta setelah agensi farmaseutikal AIFA mengeluarkan amaran larangan untuk meneruskan penggunaan vaksin AstraZeneca.
Ini selepas agensi berkenaan melaporkan beberapa insiden serius melibatkan kematian anggota tentera selepas pemberian vaksin itu.
Walaupun punca sebenar tidak dinyatakan oleh agensi berkenaan, media di Itali melaporkan pemberian vaksin itu mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya dua tentera.
Susulan itu, pegawai penguasa bertanggungjawab kini disiasat.
Langkah drastik ini juga diambil setelah beberapa negara Eropah melaporkan beberapa insiden darah beku setelah menerima suntikan vaksin.
Tiada bukti kukuh mengenainya, namun Kolonel Tentera Itali, Francesco Rizzo mengumumkan, demi keselamatan, proses vaksinasi di Cosenza akan dihentikan buat sementara waktu.
AIFA dalam masa yang sama sedang mengumpul data klinikal untuk dihantar ke Institut Kesihatan Itali untuk dianalisis.
Langkah susulan pula akan dilaksana berdasarkan agensi perubatan Eropah.