Laporan autopsi dedah George Floyd positif COVID-19?

Agensi
Jun 4, 2020 15:26 MYT
Hasil bedah siasat ke atas George Floyd mendedahkan bahawa dia sebelum ini positif COVID-19. - Foto REUTERS
Hasil bedah siasat ke atas George Floyd, lelaki kulit hitam yang maut ketika ditahan polis di Minneapolis, mendedahkan bahawa dia sebelum ini positif COVID-19, lapor agensi berita AP.
Dokumen autopsi yang difailkan oleh pemeriksa perubatan Daerah Hennepin pada Isnin, menunjukkan bahawa Floyd mula disahkan positif COVID-19 pada 3 April lalu, namun ia dikategorikan sebagai tidak bergejala (asymptomatic).
Laporan autopsi sama didedahkan berhubung kematian Floyd, sebelum ini, didapati berpunca daripada sesak nafas dan merupakan kes pembunuhan.
Ia juga mendakwa meski pun kematiannya mungkin disebabkan oleh penyakit arteri koronari dan hipertensi, namun organ paru-paru Floyd didapati berada dalam keadaan yang baik.
Namun pada Isnin, pemeriksa perubatan itu mengisytiharkan kematian Floyd sebagai kes pembunuhan.
“Bukti yang ditemui adalah konsisten dengan asfiksia mekanik (sesak nafas) sebagai punca kematian dan pembunuhan sebagai cara kematian,” kata Dr Allecia Wilson, doktor di Universiti Michigan yang telah menjalankan bedah siasat secara berasingan.
BACA: Bedah siasat dapati George Floyd maut akibat sesak nafas
BACA: Ibu kepada anak George Floyd mahukan keadilan
Dalam pada itu, peguam keluarga Floyd, Ben Crump, sebelum ini menolak autopsi rasmi itu seperti yang dijelaskan dalam aduan asal terhadap bekas anggota polis yang menekan leher Floyd, Derek Chauvin.
Ini kerana autopsi awal menafikan punca kematiannya disebabkan sesak nafas.
Selain itu, autopsi yang ditugaskan oleh keluarga Floyd merumuskan bahawa dia meninggal kerana sesak nafas akibat tekanan pada leher dan punggung.
Dalam perkembangan berkaitan, empat bekas anggota polis yang terlibat dalam insiden kematian Floyd akan didakwa dengan tuduhan membunuh.
Ia termasuk Chauvin yang akan didakwa dengan tuduhan bunuh tahap kedua.
#Allecia Wilson #Amerika Syarikat #bedah siasat #Black Lives Matter #cekik #COVID19 #Derek Chauvin #diskriminasi #Doktor #George Floyd #keganasan #koronavirus #kulit hitam #masalah kesihatan #maut #Minneapolis #polis #protes #sesak nafas #tahanan polis #tuduhan bunuh
;