Laporan Amerika dedahkan Israel salah guna bantuan senjata

Agensi
Mei 12, 2024 09:45 MYT
Laporan didedahkan Pentadbiran Amerika Syarikat (AS), Presiden Joe Biden mendapati Israel menggunakan bantuan senjata dari AS tanpa mengikut lunas undang-undang antarabangsa. - Gambar fail REUTERS
WASHINGTON: Laporan didedahkan Pentadbiran Amerika Syarikat (AS), Presiden Joe Biden mendapati Israel menggunakan bantuan senjata dari AS tanpa mengikut lunas undang-undang antarabangsa.
Namun, ia tidak mengenal pasti pencabulan yang boleh menamatkan bantuan ketenteraan Washington kepada Tel Aviv.
Laporan itu didedahkan Jumaat lalu.
Menurut Jabatan Negara AS, Israel tidak mengemukakan maklumat mencukupi untuk membolehkan ia mengesahkan aspek pencabulan dalam perang di Gaza.
White House sebelum ini mengeluarkan memorandum keselamatan nasional, meminta Israel dan negara lain yang menerima bantuan ketenteraannya untuk mengemukakan jaminan bertulis berhubung penggunaan senjata itu, mengikut undang-undang antarabangsa.
AS kemudian akan membuat keputusan mengenai bantuan selajutnya berdasarkan jaminan bertulis itu.
Laporan AS dedahkan Israel salah guna bantuan senjata
Laporan itu bagaimanapun memaklumkan, Biden percaya Israel mengambil langkah sesuai untuk menangani kebimbangan AS.
AS menjadi sekutu konsisten Israel sepanjang tujuh bulan operasi ketenteraan di Gaza.
Perang itu, bagaimanapun mencetus kritikan ke atas Israel dan AS susulan kebimbangan berkaitan isu kemanusiaan.
Hampir 35,000 penduduk Palestin maut di Gaza, majoritinya wanita dan kanak-kanak.
Sehingga kini, kepungan Israel ke atas Gaza berterusan menyebabkan akses kepada makanan, air dan bekalan elektrik sangat terhad.
#Perang Palestin-Israel #Israel salah guna senjata #Amerika Syarikat #Joe Biden
;